China bakal denda Didi lebih AS$1 bilion


Didi menjadi sasaran pengawal selia China pada Jun tahun lepas selepas ia meneruskan IPO di Amerika Syarikat. – Gambar EPA, 20 Julai, 2022.

CHINA bakal mengenakan syarikat e-hailing Didi dengan denda lebih AS$1 bilion selepas siasatan yang panjang, lapor media, memberi harapan kepada pelabur yang tindakan keras terhadap syarikat itu semakin berkurangan.

Didi, yang dianggap Uber versi China menjadi satu daripada sasaran berprofil tertinggi bagi tindakan tegas terhadap sektor itu, yang menyaksikan pertumbuhan berterusan selama bertahun-tahun dan monopoli berlebihan sebelum pengawal selia bertindak.

Denda—yang dikenakan ke atas amalan keselamatan siber Didi—akan berjumlah lebih 4% daripada pendapatannya AS$27.3 bilion tahun lepas dan membuka jalan untuk penyenaraian saham baharunya di Hong Kong, lapor The Wall Street Journal (WSJ) pada Selasa.

Memetik sumber tidak dinamakan yang mengetahui perkara itu, WSJ berkata sebaik sahaja denda diumumkan, kerajaan akan mengurangkan sekatannya terhadap operasi Didi.

Firma itu dihalang daripada menambah pengguna baharu dan aplikasinya dikeluarkan daripada stor dalam talian di China oleh pengawal selia.

Laporan WSJ mencetuskan lonjakan saham syarikat teknologi China di Hong Kong pada Rabu, dengan pelabur berharap kawalan ketat dua tahun yang melanda sektor itu hampir berakhir.

Syarikat gergasi e-dagang Alibaba melonjak 4%, manakala syarikat permainan Tencent memperoleh 2.5% dalam dagangan awal.

Didi menjadi sasaran pada Jun tahun lepas selepas ia meneruskan IPO di Amerika Syarikat, dilaporkan bertentangan dengan kehendak Beijing.

Beberapa hari selepas ia mengumpul AS$4.4 bilion di New York, pihak berkuasa China melancarkan siasatan keselamatan siber terhadap syarikat itu, menyebabkan sahamnya menjunam.

Jika disahkan, denda Didi akan menjadi yang paling besar dikenakan terhadap syarikat teknologi China sejak Alibaba diarah membayar AS$2.75 bilion pada April 2021 sebagai hukuman atas amalan antipersaingan.

Didi tidak segera membalas permintaan e-mel untuk komen.

Pemegang sahamnya mengundi untuk menyahsenarai firma itu dari New York pada Mei.

Langkah itu dijangka membuka jalan kepada penyenaraian Hong Kong yang dilapor ditangguhkan selepas badan pemerhati internet terkemuka China memberitahu eksekutif cadangan mereka untuk mencegah keselamatan dan kebocoran data tidak mencukupi.

Tindakan keras kawal selia China berkurangan tahun ini ketika ia bergelut dengan kejatuhan ekonomi akibat strategi sifar Covid, dengan negara itu bergelut untuk mencapai sasaran pertumbuhan 5.5%.

Bagaimanapun, masih terdapat persekitaran kawal selia yang ketat untuk firma teknologi: Presiden Xi Jinping bulan lalu meminta pengawasan lebih ketat dan keselamatan lebih baik dalam arena teknologi kewangan. – AFP, 20 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen