Sekatan Covid-19, kurang tenaga kerja jejas 30% perniagaan, kata PKS


Khoo Gek San

Perusahaan kecil dan sederhana menyumbang 38.2 peratus atau RM512.8 bilion kepada ekonomi negara tahun lepas, sekali gus menjadikan ia tulang belakang ekonomi Malaysia, namun angka itu turun 7.3 peratus sejak 2020. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Julai, 2022.

SEKATAN pergerakan Covid-19, kekurangan tenaga kerja telah mengecutkan perniagaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan sebanyak 30 peratus, selain ringgit yang melemah menambahkan lagi kos, kata kumpulan industri.

Mereka berkata angka jualan ketika ini jauh lebih rendah berbanding sebelum pandemik.

PKS merupakan tulang belakang ekonomi negara apabila menyumbang 38.2 peratus atau RM512.8 bilion tahun lepas, namun angka itu turun 7.3 peratus sejak 2020.

Presiden Persatuan PKS Ding Hong Sing berkata sekatan pergerakan Covid-19 dari Mac 2020 hingga tahun lepas adalah punca utama perniagaan merosot.

Walaupun perniagaan kembali normal pada 1 April lalu, kesan sekatan masih terasa buat PKS.

“PKS tidak pernah berada dalam keadaan seteruk ini. Walaupun ekonomi telah dibuka semula, kekurangan tenaga kerja dan sikap kerajaan bermakna kami beroperasi dalam kerugian,” kata Ding kepada The Malaysian Insight.

Penurunan nilai ringgit juga menyaksikan volum perniagaan menurun sebanyak 20 hingga 30 peratus berbanding sebelum pandemik kerana kos operasi yang lebih tinggi, kata Ding.

“Kami hampir tidak boleh dapat RM10,000 sebulan kerana inflasi, kos pengangkutan dan gaji minimum.”

Tambah Ding, perusahaan mikro yang tidak mampu tangani kenaikan inflasi terpaksa ditutup.

Mereka yang tidak dapat bayar balik pinjaman pada akhir tempoh moratorium juga terpaksa tutup, katanya.

“Satu-satunya cara untuk membayar pinjaman adalah dengan menjual aset mereka.”

Justeru beliau menggesa kerajaan menyediakan pinjaman dengan faedah rendah bagi membantu PKS, sebelum mereka tangani isu seperti mengurangkan pergantungan kepada buruh.

Koong Lin Loong, pengerusi Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Bersekutu Malaysia (ACCCIM) berkata bank dan agensi kerajaan telah memberikan pinjaman faedah rendah kepada PKS.

“Namun, kekurangan dokumentasi telah menyukarkan syarikat untuk memohon pinjaman.”

Koong berkata dalam era selepas pandemik ini, PKS perlu merangka belanjawan tahunan, mengubah cara mereka bekerja, meneliti semula produk mereka dan menjalankan analisis produktiviti.

Memandangkan kes Covid-19 semakin meningkat, Koong berkata penting bagi PKS mempunyai rizab dan berhemat dalam perbelanjaan.

“Sebelum pandemik, PKS berhadapan perang perdagangan antara China dan Amerika Syarikat. Sekarang kita sedang berhadapan pula dengan konflik Rusia-Ukraine.

“Kita juga berdepan dengan penyusutan nilai ringgit, kenaikan kadar faedah dan inflasi, apatah lagi kekurangan dua juta pekerja yang tidak dapat diisi dalam masa terdekat.”

Menurut Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Noh Omar, sebanyak 37,415 PKS terpaksa gulung tikar sejak bermulanya pandemik.

Daripada jumlah ini, 26,007 adalah perusahaan mikro, kecil dan sederhana manakala 2,738 adalah PKS.

Sementara itu, setakat Jun tahun ini, 23,660 syarikat baharu diperbadankan, dengan 1,453,057 syarikat tempatan berdaftar setakat ini, menurut Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). – 20 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen