Thailand jangka hasil pelancongan cecah 2.38 trilion baht tahun depan


Gabenor Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand berkata dalam senario terbaik, negaranya dijangka menjana pendapatan sebanyak 1.5 trilion baht daripada pelancong antarabangsa manakala 880 bilion baht daripada pelancongan domestik. – Gambar EPA, 19 Julai, 2022.

INDUSTRI pelancongan Thailand yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 dijangka menjana pendapatan bagi negara itu sehingga 2.38 trilion baht pada 2023.

Gabenor Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand (TAT) Yuthasak Supasorn berkata dalam senario terbaik, Thailand dijangka menjana pendapatan sebanyak 1.5 trilion baht daripada pelancong antarabangsa dan 880 bilion baht daripada pelancongan domestik.

“Kami menetapkan sasaran jumlah ketibaan pelancong yang lebih kecil tahun depan berbanding tahap sebelum Covid-19 pada 2019. Matlamat kami adalah untuk menarik pengunjung berbelanja lebih dan tinggal lebih lama di negara ini,” katanya kepada pemberita selepas persidangan Pelan Tindakan TAT 2023 di Bangkok.

Sebagai antara destinasi paling popular di Asia, Thailand dikunjungi oleh hampir 40 juta pelancong pada 2019. Bagaimanapun, industri pelancongan hampir lumpuh akibat pandemik COVID-19 yang memaksa kerajaan memperkenalkan syarat kemasukan yang ketat dan yang melibatkan kos yang mahal.

Tahun ini, setelah melonggarkan sekatan Covid-19 dalam negara, Thailand menjangka menerima sehingga 10 juta pelancong asing. Dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, Thailand  menerima kira-kira 2 juta pelancong asing.

TAT pada Isnin mengumumkan pelan pemasaran untuk 2023 yang akan meneruskan sasaran tahun ini untuk menggalak dan mengubah pelancongan Thai, sambil memberi penekanan yang lebih besar kepada pemulihan sektor pelancongan ke arah pertumbuhan yang lebih kukuh dan mampan, lebih bertanggungjawab, lebih digital dan lebih inklusif.

TAT juga akan mempromosi semua pintu masuk ke Thailand, melalui laluan darat, air dan udara dengan matlamat untuk memulihkan lebih daripada 80 peratus  kapasiti udara kawsan pada 2019.

Beliau berkata TAT akan terus menggunakan slogan “Visit Thailand Year 2022-2023: Amazing New Chapters”  sebagai strategi komunikasi untuk pasaran antarabangsa.

“Thailand akan terus diperkenalkan sebagai destinasi bertaraf dunia yang menawarkan keistimewaan untuk semua di bawah konsep ‘From A-Z: Amazing Thailand Has It All’. Ini akan ditunjukkan dalam asas 5F, 4M kerajaan; iaitu Makanan, Filem, Fesyen, Festival, Bela diri, Muzik, Muzium, Master, dan Meta,” katanya. – Bernama, 19 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen