Wartakan pelan tempatan KL, kalau tidak DBKL diheret ke mahkamah


Noel Achariam

Pengerusi Selamatkan KL (SKL) Dr Abdul Aziz Abdul Rahman berkata gabungan penduduk meminta DBKL mewartakan Pelan Bandar raya Kuala Lumpur 2020 yang mereka gunakan pada masa ini sebagai garis panduan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 22 Februari, 2018.

GABUNGAN penduduk bercadang mengheret Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ke mahkamah jika pihak berkuasa tempatan itu enggan mewartakan Pelan Bandar raya Kuala Lumpur 2020, kata Dr Abdul Aziz Abdul Rahman.

Pengerusi Selamatkan KL (SKL) yang juga peguam veteran itu berkata sejak kemerdekaan, ibu negara itu tidak pernah mempunyai pelan tempatan bagi pembangunan bandar berkenaan.

“Kami minta DBKL mewartakan Pelan Bandar raya Kuala Lumpur 2020 yang mereka gunakan pada masa ini sebagai garis panduan.

Kami belum lagi memberikan mereka tempoh masa tetapi jika mereka gagal berbuat demikian, kami akan membawa perkara ini ke mahkamah,” katanya selepas pertemuan dengan Pengarah Eksekutif Perancang DBKL Mohd Najib Mohd hari ini.

Aziz berkata ketiadaan pelan tempatan di bandar itu menyebabkan terlalu banyak bangunan tinggi dibina, yang tidak mencerminkan keperluan penduduk, tetapi diluluskan oleh DBKL.

“Pada masa ini, penduduk berdepan cabaran untuk melindungi kejiranan mereka dan kawasan hijau daripada menjadi mangsa komersialisasi.

“Kelulusan menukar kegunaan tanah dan kepadatan tidak telus sementara DBKL mempunyai budi bicara untuk mengubah kegunaan tanah.”

Aziz berkata di bawah Akta (Perancangan) Wilayah Persekutuan 1982, sebuah pelan struktur dan pelan tempatan yang lebih terperinci – yang memperincikan guna tanah bagi pembangunan bandar raya – hendaklah dirangka dan diwartakan mengikut akta berkenaan.

Aziz berkata DBKL melakukan dua kesalahan utama iaitu, mengubah pelan pembangunan tanpa melalui proses undang-undang yang betul, dan kedua gagal meluluskan pelan tempatan bandar itu dalam tempoh masa munasabah.

Penduduk terkejut berhubung kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor iaitu draf Pelan Bandaraya Kuala Lumpur 2020 tidak akan diwartakan seperti dirancang.

Tengku Adnan dipetik sebagai berkata beliau tidak akan menandatangani atau meluluskan pelan itu kerana ada ruang untuk salah guna berlaku.

Minggu lalu, Datuk Bandar KL Mohd Amin Nordin Abd Aziz berkata perbincangan tentang merangka pelan baharu, Pelan Struktur Kuala Lumpur 2050 akan diadakan.

Aziz berkata beliau dimaklumkan oleh Najib bahawa ada pelan untuk pelan tempatan 2035.

“Kami tidak perlukan terlalu banyak pelan. Saya pun tidak tahu saya ada lagi ke tidak bila mereka wartakan pelan itu.

“Kita sudah pun ada Pelan Struktur KL 2020 dan apa yang kita perlukan ialah pelan tempatan.”

Aziz berkata satu lagi isu yang dibangkitkan pagi ini ialah untuk mendemokrasikan pihak berkuasa tempatan itu.

Katanya, itu penting bagi memastikan penyertaan semua pihak berkepentingan dalam pembangunan bandar itu.

“Kami mahu pilihan raya pihak berkuasa tempatan kerana dengan cara itu pandangan penduduk akan didengar dan ada kebertanggungjawaban serta rasa pemilikan,” katanya. – 22 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen