India, China runding kali ke-16 selesai ketegangan di sempadan


Rundingan bagi memulihkan keamanan dan ketenteraman di sepanjang Garis Kawalan Sebenar (LAC) di sempadan India-China di wilayah Ladakh. – Gambar AFP, 19 Julai, 2022.

KOMANDER tentera India dan China mengadakan satu lagi pusingan rundingan selepas empat bulan untuk meredakan ketegangan di wilayah Ladakh.

Dalam satu kenyataan bersama pada Isnin, India dan China mengatakan rundingan peringkat kor komander pusingan ke-16 itu diadakan di titik pertemuan sempadan Chushul-Moldo di bahagian India pada Ahad.

“Berdasarkan kemajuan yang dicapai dalam mesyuarat terakhir pada 11 Mac 2022, kedua-dua pihak meneruskan perbincangan untuk penyelesaian isu-isu berkaitan di sepanjang LAC (Garis Kawalan Sebenar) di Sektor Barat secara konstruktif dan berpandangan ke hadapan,” kata kenyataan itu.

“Kedua-dua pihak menegaskan semula bahawa penyelesaian isu sedia ada akan membantu memulihkan keamanan dan ketenteraman di sepanjang LAC di Sektor Barat dan mendorong kepada kemajuan dalam hubungan dua hala,” tambah kenyataan itu.

Kedua-dua India dan China telah menempatkan ribuan tentera dan senjata berat di wilayah sempadan Himalaya.

Keadaan agak tenang di kawasan itu sejak pertempuran antara kedua-dua pasukan pada Jun 2020. – Bernama, 19 Julai, 2022.              


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen