Jangan guna alasan subjudis tolak usul Sulu, kata Kit Siang


Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang berkata isu aset Petronas yang dirampas dan tuntutan waris kesultanan Sulu perlu dibahaskan dengan segera kerana ia melibatkan kepentingan serta kedaulatan negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Julai, 2022.

PARLIMEN tidak boleh menggunakan alasan subjudis untuk untuk menolak sebarang usul tergempar yang dikemukakan untuk dibahas di Dewan Rakyat, kata Lim Kit Siang.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata isu aset Petronas yang dirampas dan tuntutan waris kesultanan Sulu perlu dibahaskan dengan segera kerana ia melibatkan kepentingan serta kedaulatan negara.

Lim mengulas keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun semalam, yang menolak usul berhubung rampasan aset Petronas di Azerbaijan minggu lalu.

Ahli Parlimen Kota Belud Isnaraissah Munirah Majilis turut diarah keluar dewan dan digantung daripada menghadiri sidang selama dua hari kerana tidak mendengar arahan speaker yang menolak bahas isu tersebut.

Lim berkata keputusan speaker menolak usul atas alasan subjudis melanggar empat hak asasi iaitu kebebasan bersuara, kedaulatan Sabah, peranan Parlimen sebagai institusi perundangan tertinggi negara dan integriti pegawai kerajaan.

“Speker sepatutnya mengkaji semula keputusannya atau membenarkan Isnaraissah Munirah kemukakan usul di bawah Peraturan Mesyuarat,” katanya dalam kenyataan.

Sidang Dewan Rakyat semalam kecoh selepas Azhar menolak usul tergempar bagi membahaskan rampasan aset Petronas di luar negara oleh waris kesultanan Sulu. 

Rampasan itu sebahagian daripada tindakan undang-undang yang dikemukakan pada 2017 oleh waris kesultanan Sulu untuk mendapatkan pampasan terhadap tanah di Sabah.

Sidang Parlimen semsa pentadbiran Barisan Nasional sering dikritik kerana tidak membenarkan isu berkait skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dibahas.

Semua usul pembangkang ditolak atas alasan siasatan atau prosiding mahkamah berkait isu tersebut  masih berjalan, sekali gus tidak boleh dibincang atau dibahas.

Usul sama juga ditolak di Dewan Undangan Negeri Sabah semalam kerana dibuat kurang daripada 24 jam yang ditetapkan sebelum sidang bermula. – 19 Julai, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen