Masalah Melayu Singapura


Faisal Tehrani

BARU-BARU ini saya menghadiri sebuah acara atau diskusi di Pusat Kebudayaan dan Warisan Melayu, di 85 Kampung Gelam, Pintu Sultan.

Percakapan itu berjudul “Pendidikan Islam di Nusantara: Tradisional, Moderen dan Masa Depan” dengan memberi perhatian kepada isu setempat iaitu di Singapura. Ia dipengerusikan orang kuat Malay Heritage Centre dan juga Felo Penyelidik ISEAS-Yusuf Ishak, Dr Norshahril Saat.

Syarahan itu diketengahkan oleh Abdul Manaf Rahmat yang merupakan seorang agamawan di negara tersebut.

Saya mengatakan penting kerana sebagai lulusan Diploma Kajian Islam di Kulliyatul Mu’allimin Al-Islamiyah, Pondok Modern Gontor Ponorogo, Indonesia dan Sijil Pengajian Islam, Universiti Teknologi Malaysia, beliau sebagai guru agama turut dilengkapkan dengan Diploma Spesialis, Kaunseling & Psikologi, dari Lee Community College, Singapura.

Suara beliaulah yang selama beberapa dekad ini, dapat dianggap tidak banyak pun sedikit, sebagai kewarasan yang sedia ada untuk mengimbangi magnet kuat Melayu-Islam dari Malaysia.

Tujuan saya menghadiri program berkenaan ialah untuk memahami detak rasa, dan gelisah emosi bangsa atau diaspora Melayu di republik tersebut. Ternyata, urusan mereka tidaklah banyak berbeza dengan apa yang menimpa Melayu di mana-mana pun.

Persoalan pergelutan identiti, hal prinsip yang terkorban, ekstremisme dan radikalisme, kejumudan yang tidak boleh berkembang, dan penting sekali ialah; kelekatan agama Islam dengan bangsa ikut menjadi topik bual.

Perbincangan di acara ini begitu interaktif (meskipun dihadiri jumlah yang kecil) yang menunjukkan kaum cendekiawan Melayu Singapura tidaklah membiarkan diri mereka bercendawan dan terus berlumut dengan apa yang datang dari Malaysia.

Suatu masa dulu saya selalu simpati kepada masyarakat Melayu Singapura. Mana tidaknya, apa saja perkara “tidak senonoh” yang ada dalam kalangan kita di Malaysia, nampaknya kita hantarkan kepada mereka.

Itu menimbulkan semacam dilema buat Melayu Singapura yang hidup dalam persekitaran sekular sebagai minoriti. Terdapat rasa saudade atau kehilangan dan justeru mendatangkan keinginan yang kuat kepada mereka (lebih kuat barangkali daripada yang dirasai kita di Malaysia) untuk mendakap jati diri Melayu.

Melayu Singapura semacam menyangkakan apa yang salah dan berkembang dalam kalangan Melayu Malaysia adalah satu kebenaran dan seterusnya menjadi trend yang harus diekori mereka.

Penunggangan Islam, menggandingkan kapitalisme dan dakwah, radikalisme dalam kalangan segelintir kita, kebengapan dan ketidakterbukaan terhadap kaum, dan budaya lain turut juga mengikat mereka; yakni setelah kita menghantarnya ke seberang tambak sebagai satu produk pemikiran.

Lama-kelamaan Melayu Singapura yang jumlahnya kecil menjadi mini Melayu Malaysia yang jumlahnya besar. Saat Melayu Malaysia makin membesar dan menguat dari segi kuasa dan dari segi ketertutupannya, Melayu Singapura tidak dapat membesar dan melebar (kerana mereka minoriti) tetapi lama kelamaan menjadi lebih tertutup lagi dari kita di sini.

Dek rimas tidak boleh membesar dan mengembang, Melayu Singapura yang dicucuk-cucuk untuk meniru-niru Melayu Malaysia itu kian menggelintin dan akhirnya terbolos jua kembali ke Malaysia.

Maka perlahan-lahan terjadi saling pertukaran atau aliran kejumudan antara dua diaspora Melayu ini. Malaysia menghantar idea kejumudan, Singapura dengan kuasa materi dan wang mencetak dan membuat salinan fotokopi lantas mengeposnya kembali ke Malaysia. Maka kita melihat beberapa pesen orang Melayu Singapura yang berhijrah ke Malaysia menyebarkan masalah.

Maka tidaklah menghairankan pencarian hero baharu Melayu Malaysia yang dizahirkan menerusi watak seorang pahlawan masa lampau dijelmakan oleh seorang Melayu Singapura yang terlebih kanan dari segala kanan yang ada di Malaysia.

Atau setelah belajar jampi serapah ruqyah di negara kita, ia terhantar ke seberang kotak imigresen di sempadan sana, kemudian setelah dihias dengan asap kemenyan dolar ia kembali terbang ke sini dalam bentuk jelmaan ustaz yang pandai mengubat dan merawat.

Tanpa sedar contohnya, pelajar Republik Singapura yang datang belajar di negara kita membawa pulang elitisme dan eksklusivisme Islamisasi Ilmu Syed Naquib Al-Attas. Cuma ia lebih berbentuk menghukum. Ini membawa kegelisahan lain yang lebih mencanak.

Tanpa sedar misalnya, siswa dari Singapura yang belajar di Malaysia diradikalkan di sini sebelum dieksportkan kembali ke sana. Oleh sebab mereka tidak boleh mengembang di sana, mereka kembali kepada kita. Maka terjadilah efek Melayu-Islam yang sama. Aliran ulang alik itu bagai karen letrik menjadi makin berbahaya.

Cumanya, kembali kepada acara penyampaian Ustaz Abdul Manaf Rahmat itu, para cendekiawan Singapura berusaha untuk merubah keadaan.

Justeru ada cadangan agar diwujudkan “safe space” untuk pandangan berlawanan, agar ustaz yang ingin sedikit progresif tidak dihukum oleh masyarakat atau elitis agama di sana. Ternyata ada kalangan para ustaz generasi baru yang ingin sedikit berbeza namun tidak berani melakukannya kerana khuatir dikecam masyarakat selain bimbang kehilangan mata pencarian.

Terdapat suara agar Singapura ada institut pengajian tinggi yang menawarkan sendiri Islamic Studies menurut acuan Singapura dan tidak perlu basah oleh tempias dari Indonesia mahupun Malaysia.

Saranan seumpama itu lebih baik memandangkan Melayu Singapura perlu ada kesedaran bahawa selepas pemisahan Malaysia-Singapura mereka sudah ada identiti sendiri; seharusnya mereka menjadi diaspora Melayu dengan budaya mandiri.

Jangan diikutkan Melayu Malaysia yang ternoda oleh ekstrimisme kejumudan, Saudisasi, atau nasionalisme sempit.

Melayu Singapura perlu difahamkan yang sekularisme bukan palitan kotor tetapi adalah satu peluang untuk berkembang dan mengukuhkan agama bahkan bangsa. Sekularisme bukan untuk ditangisi atau dirunguti tidak sudah-sudah.

Umat Islam di negara Barat, katakan Amerika misalnya mengambil peluang demokrasi dan persekitaran sekularisme untuk memantapkan keimanan dan menyebarkan Islam yang membolehkan agama ini menjadi agama yang pesat di rantau sebelah sana.

Pun, saya katakan masalah mereka di Singapura sama saja dengan Malaysia. Acara perbincangan bagus sedemikian diboikot oleh orang agama sana. Tiada muka Majlis Ugama Islam Singapura. Sepertinya perangai orang Jakim di sini.

Keengganan kepada dialog, pelabelan, dan akhirnya membawa kitaran kejumudan yang sama.

Mereka, para agamawan, percaya itu betul dan adalah pendidikan yang dilakukan para Nabi.

Mereka mungkin fikir tidak berinteraksi sesama sendiri yakni untuk memikir masalah umat itu merupakan satu konsep pemeliharaan iman. Padahal ia bertentangan dengan Islam Nusantara yang memang sifatnya mencerap dan terbuka. Dan, memang bukan ajaran Nabi Muhammad. – 19 Julai, 2022.

* Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Bersekutu untuk sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard. Faisal menulis mengenai pelbagai perkara yang menjadi minat beliau.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen