Anthony Fauci bakal bersara


Anthony Fauci mengesahkan akan bersara menjelang akhir penggal Presiden Joe Biden. Beliau pernah berkhidmat di bawah tujuh presiden AS sejak 1980-an. – Gambar AFP, 19 Julai, 2022.

INDIVIDU penting dalam pengurusan masalah kesihatan dan respons terhadap penyakit berjangkit di Amerika Syarikat (AS) sejak 1980-an, Anthony Fauci mengesahkan akan bersara menjelang akhir penggal Presiden Joe Biden.

Fauci, 81, memberitahu Politico dan CNN, beliau akan melepaskan jawatannya sebagai pengarah Institut Alergi dan Penyakit Berjangkit Kebangsaan (NIAID) sebelum Januari 2025.

“Jelas sekali, anda tidak boleh pergi selama-lamanya. Saya mahu buat benda lain dalam kerjaya saya, walaupun saya berada pada usia yang agak lanjut,” kata Fauci, yang juga ketua penasihat perubatan Biden kepada CNN.

Beliau memberitahu Politico, beliau tidak bercadang untuk kekal lama dalam jawatannya untuk mengekang Covid-19 kerana penyakit itu tidak akan hilang pada masa terdekat.

“Saya fikir kita akan terus hidup dengan ini,” kata Fauci, yang dilantik sebagai pengarah NIAID Institut Kesihatan Nasional pada 1984 dan pernah berkhidmat di bawah tujuh presiden.

Apabila Covid-19 mula merebak dari China, Fauci menjadi sumber maklumat yang boleh dipercayai, meyakinkan orang ramai dengan sikap tenang dan profesionalnya ketika tampil di hadapan media.

Namun, kejujurannya untuk mengambil alih kegagalan AS menangani virus itu menyebabkan Fauci mengalami konflik dengan bekas presiden Donald Trump, menjadikan pakar perubatan-saintis itu sebagai tokoh yang dibenci sesetengah pihak.

Fauci kini hidup dengan perlindungan keselamatan selepas keluarganya menerima ancaman bunuh dan gangguan.

Bagaimanapun, beliau mengesahkan sudah berdamai dengan Trump.

Semasa 1980-an, Fauci menjadi pembela kerajaan yang tidak melakukan secukupnya untuk membendung peningkatan HIV-AIDS, tetapi kemudiannya menjalin kerjasama rapat dengan aktivis. – AFP, 19 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen