Stesen televisyen bebas Dozhd, antara saluran media yang disekat pihak berkuasa Rusia pada Mac dalam usaha mengawal liputan perang di Ukraine, mula bersiaran dari luar negara semalam.
Stesen itu bersiaran di saluran YouTube petang semalam secara langsung dari studionya di Latvia, dengan menyiarkan program berita yang dihoskan ketua editornya Tikhon Dzyadko.
Selain Dozhd, beberapa saluran media bebas lain juga dikenakan sekatan dan ramai wartawan melarikan diri ke luar negara untuk mengelak didakwa di bawah undang-undang baharu yang membawa kepada hukuman penjara sehingga 15 tahun bagi kesalahan menyebar berita palsu mengenai tentera Rusia ketika Moscow meneruskan pencerobohannya ke atas Ukraine.
Dozhd juga mendapat lesen untuk bersiaran di Kesatuan Eropah, serta mempunyai studio di Amterdam, Paris dan Tbilisi.
“Selama empat bulan setengah Dozhd tidak melaporkan peperangan yang tidak masuk akal yang dilancarkan pemimpin Rusia terhadap Ukraine.
“Hari ini dan seterusnya rakyat Rusia sepatutnya mendapat akses kepada maklumat bebas,” kata stesen itu dalam satu kenyataan.
Kenyataan itu juga menyebut Dozhd akan meningkatkan operasinya secara berperingkat melalui media sosial dan saluran televisyen.
Dilancarkan pada 2008, Dozhd aktif membuat liputan mengenai gerakan pembangkang dan protes di Rusia. Pada 2021, ia dilabel sebagai ‘ejen asing’. – AFP, 19 Julai, 2022.
Komen