PM arah Kementerian Tenaga dan Sumber Asli siasat banjir Baling, kata menteri


Ravin Palanisamy

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Takiyuddin Hassan berkata kementeriannya telah dipertanggungjawabkan oleh perdana menteri untuk menyiasat banjir di Baling, Kedah yang mengorbankan tiga nyawa selain beratus-ratus rumah rosak dalam tragedi pada awal bulan ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Julai, 2022.

KEMENTERIAN Tenaga dan Sumber Asli telah diarah untuk menyiasat banjir besar yang berlaku di beberapa kampung di Baling, Kedah, awal bulan ini, kata menterinya Takiyuddin Hassan.

Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata beliau telah diarahkan Pejabat Perdana Menteri supaya pihaknya menjadi agensi uatama bagi siasatan tersebut.

“Siasatan ini akan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara (Mohd Zuki Ali) sendiri, tetapi agensi utama (untuk siasatan ini) ialah Kementerian Tenaga dan Sumber Asli.

“Jadi saya jangka hasil siasatan insiden ini (Baling) tidak lama lagi dan laporan itu akan diumumkan kepada umum,” kata Takiyuddin dalam ucapan penggulungan Rang Undang-undang Perhutanan Negara (Pindaan) 2022.

Takiyuddin berkata di bawah jabatan-jabatan di bawah kementeriannya, seperti Jabatan Perhutanan, Jabatan Mineral dan Geosains, Jabatan Ukur dan Pemetaan, Jabatan Perhilitan dan lain-lain akan membantu siasatan punca banjir tersebut.

Dalam kejadian 4 Julai lalu, lebih 800 rumah di 12 kampung ditenggelami air. Ia merupakan banjir terburuk pernah direkodkan di Kupang, yang didakwa dicetuskan oleh kepala air di hulu Gunung Inas.

Arus deras menghanyutkan 16 rumah, selain merosakkan 18 rumah lain serta menjejaskan lebih 700 buah rumah lagi.

Seorang wanita bersama anak lelaki berusia 14 tahun dan menantunya yang sarat mengandung maut selepas rumah mereka di Kampung Iboi hanyut dilanda banjir.

Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) bertanya sama ada Kertas Putih akan dibentangkan di Parlimen untuk dibahaskan berdasarkan dapatan siasatan.

Takiyuddin menjawab kerajaan akan membentangkan Kertas Putih bencana itu jika ada keperluan.

“Proses ini hanyalah siasatan awal.

“Jika siasatan ini menunjukkan perlunya Kertas Putih, saya rasa tidak ada halangan daripada Kerajaan untuk membentangkan Kertas Putih di Parlimen. Saya akan pastikan ini,” katanya.

Awal hari ini, Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man berkata banjir di Baling berpunca akibat pecahnya takungan di ladang durian Musang King di Gunung Inas.

Tuan Ibrahim berkata dapatan punca banjir susulan kajian yang dijalankan kementeriannya. – 18 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen