Britain berhadapan gelombang haba melampau, suhu tertinggi dalam sejarah


Seorang lelaki menikmati minuman sambil berdiri di dalam kolam di Trafalgar Square, London, ketika Britain sedang berhadapan peningkatan suhu melampau, dengan ramalan negara itu boleh menyaksikan hari paling panas dalam sejarah.

BRITAIN pada Isnin bersiap sedia untuk sehari lagi berhadapan peningkatan suhu melampau, dengan ramalan negara itu boleh menyaksikan hari paling panas dalam sejarah.

Suhu dijangka meningkat ke paras tertinggi 38 Celcius di London, kerana gelombang haba yang telah terbina sejak minggu lepas belum menunjukkan tanda menurun.

Namun agensi meteorologi negara, Met Office berkata suhu boleh menjadi lebih panas pada Selasa, mencecah paras 40C buat kali pertama.

Rekod suhu semasa Britain ialah 38.7C, yang dikesan di Cambridge Botanic Garden di timur England pada 25 Julai 2019.

Ketua meteorologi Paul Davies berkata pada malam Isnin akan menjadi “sangat panas”, dan terdapat “peluang baik sekarang untuk mencecah 40C atau 41C” pada Selasa.

“Ini konsisten dengan perubahan iklim,” katanya kepada Sky News, menyifatkan “kekuatan” haba yang dijangkakan sebagai “mengejutkan”.

“Ia amat membimbangkan saya dan rakan sekerja… kepanasan yang tidak pernah berlaku sebelum ini boleh menjadi kejadian biasa menjelang akhir abad ini.”

Met Office minggu lalu mengeluarkan amaran merah panas melampau pertamanya untuk bahagian tengah, utara, timur dan tenggara England.

Amaran suhu yang melampau telah menyebabkan beberapa sekolah ditutup dan amaran dikeluarkan kepada pengguna perkhidmatan awam supaya tidak melakukan perjalanan pada Isnin dan Selasa. Sekatan kelajuan dikenakan pada beberapa laluan.

Network Rail, yang bertanggungjawab untuk infrastruktur rel, berkata laluan pantai timur utama keluar dari London King’s Cross ke York dan Leeds akan ditutup antara 1100 GMT dan 1900 GMT pada Selasa.

Pengarah operasi Sam MacDougall berkata penutupan adalah pilihan terakhir tetapi ianya perlu memandangkan cuaca panas yang melampau.

“Suhu ramalan adalah jauh melebihi suhu yang direka bentuk untuk infrastruktur kami, dan keselamatan mesti diutamakan,” tambahnya. – AFP, 18 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen