Aktivis prodemokrasi Thailand jadi sasaran perisian pengintip Israel


Demonstrasi besar-besaran melanda ibu kota Thailand, Bangkok dua tahun lalu ribuan rakyat menggesa kebebasan awam yang lebih luas, serta pelonggaran undang-undang lese-majeste yang ketat yang menghalang sebarang kritikan terhadap monarki. – Gambar EPA, 18 Julai, 2022.

PULUHAN aktivis demokrasi Thailand telah menjadi sasaran perisian pengintip kontroversi Israel yang dikenali sebagai Pegasus semasa kemuncak protes antikerajaan, menurut laporan kumpulan hak digital antarabangsa.

Demonstrasi besar-besaran melanda ibu kota Thailand, Bangkok dua tahun lalu ribuan rakyat menggesa kebebasan awam yang lebih luas, serta pelonggaran undang-undang lese-majeste yang ketat yang menghalang sebarang kritikan terhadap monarki.

Laporan oleh badan pemerhati keselamatan siber Kanada Citizen Lab dengan kerjasama kumpulan Thai iLaw dan DigitalReach, mengenal pasti kira-kira 30 aktivis, ahli akademik, peguam dan pekerja NGO yang peranti mudah alih mereka terjejas.

“Serangan berlaku dari Oktober 2020 hingga November 2021, bertepatan dengan tempoh protes prodemokrasi yang meluas, dan kebanyakannya menyasarkan tokoh utama dalam gerakan prodemokrasi,” kata laporan itu.

Perisian Pegasus, yang dicipta oleh firma Israel NSO Group, boleh mengekstrak data dan mengaktifkan kamera atau mikrofon sebaik sahaja ia berjaya menyusup ke peranti mudah alih.

Laporan itu tidak mengatakan secara jelas siapa yang berada di sebalik penggunaan perisian pengintip, walaupun ia memetik kenyataan Kumpulan NSO yang berkata mereka hanya menjual teknologi itu kepada kerajaan.

Dalam ringkasan eksekutifnya mengenai penemuan itu, NGO Thai iLaw berkata: “Ia boleh disimpulkan mengikut keadaan bahawa penggunaan Pegasus terhadap penentang akan memberi manfaat yang besar kepada kerajaan Thailand.”

Antara yang disasarkan, kata Citizen Lab, ialah peguam lese majeste Arnon Nampa, ketua protes Panusaya Sithijirawattanakul dan aktivis Jatupat Boonpattararaksa.

Panusaya kini diikat jamin dan berhadapan 10 pertuduhan derhaka terhadap raja, manakala Jatupat dinafikan jaminan awal tahun ini selepas turut didakwa menghina institusi beraja.

Mereka yang terjejas telah dimaklumkan pada November 2021 apabila Apple menghantar pemberitahuan memberitahu yang peranti mereka telah menjadi sasaran serangan yang disokong kerajaan.

Amnesty International mengutuk penggodaman itu.

“Pendedahan terbaharu ini contoh mengejutkan betapa sanggupnya pihak berkuasa mengawal perbezaan pendapat secara aman,” kata ahli teknologi Etienne Maynier.

“Perlu diingat ini hanya apa yang ditemui setakat ini, dan skala percubaan pengawasan boleh menjadi lebih besar dan lebih merosakkan.”

Ia adalah kes terbaru perisian Israel digunakan untuk mengawasi pembangkang.

Kumpulan NSO kini sedang disaman di Amerika Syarikat oleh Apple, yang mendakwa perisian pengintip firma itu digunakan untuk menyusup ke beberapa iPhone di seluruh dunia. – AFP, 18 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen