China bersedia pertingkat hubungan dengan Hungary


China hargai kepercayaan dan persahabatan yang terjalin dengan Hungary, kata Menteri Luar China Wang Yi. – Gambar EPA, 18 Julai, 2022.

MENTERI Luar China Wang Yi berkata negara Tembok Besar menghargai kepercayaan dan persahabatan yang terjalin dengan Hungary serta cara negara itu dalam menegakkan keadilan secara konsisten berhubung hal ehwal berkaitan China.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan perbincangan menerusi panggilan telefon dengan rakan sejawatannya dari Hungary, Peter Szijjarto, pada Ahad.

Menurut Wang Yi, Hungary memahami tentang kedudukan China selian menyokong China dalam menjaga hak dan kepentingannya, di samping menyatakan kesediaan untuk bekerjasama untuk meningkatkan lagi hubungan kedua-dua negara menjadi model hubungan dua hala yang matang dan saling mempercayai.

“China akan meneruskan dasar persahabatan dengan Hungary, berpegang kepada sikap positif dan terbuka terhadap kerjasama yang saling menguntungkan antara kedua-dua negara, serta  menyokong syarikat China untuk melabur di Hungary,” katanya.

Wang turut berharap Hungary dapat menyediakan jangkaan dasar yang stabil dan suasana perniagaan yang menggalakkan, selain percaya bahawa Hungary akan terus mempertahankan pendirian objektif dan adil, serta mendorong Kesatuan Eropah (EU) untuk mengambil dasar positif dan pragmatik terhadap China.

Turut disentuh dalam perbincangan itu mengenai krisis Ukraine dan beliau menegaskan krisis itu bukan sahaja memberi kesan serius kepada Eropah, malah kesan negatif itu merebak ke seluruh dunia.

“Semua pihak pada Mesyuarat Menteri-menteri Luar Kumpulan 20 (G20) amat mengambil berat tentang perkara ini.

 “China juga mengemukakan inisiatif untuk menangani masalah keselamatan tenaga dan makanan sempena Mesyuarat Menteri Luar G20 baru-baru ini,” kata Wang.

Beliau berkata meskipun China tidak terlibat langsung dalam krisis Ukraine, namun negara ini banyak menyumbang kepada penyelesaian masalah tersebut sambil memberitahu semua pihak perlu mengambil iktibar daripada situasi yang berlaku.

“Semua pihak yang terlibat harus berbincang mengenai pembinaan rangka keselamatan Eropah yang seimbang, berkesan dan mampan demi mencapai keamanan dan keselamatan yang berkekalan,” kata Wang.

Sementara itu, Szijjarto berkata situasi semasa di Eropah dan Hungary khususnya cabaran ekonomi dan kewangan yang dihadapi negara itu kesan daripada krisis di Ukraine.

Beliau berkata Hungary gembira melihat hasil kerjasama Hungary-China dalam pelbagai bidang terutamanya dalam pelaburan dan perdagangan.

“Hungary bersedia untuk mengekalkan pertukaran lawatan peringkat tinggi dengan China dan akan berusaha mendorong hubungan strategik komprehensif Hungary-China ke tahap baharu,” katanya.

Beliau juga berjanji pihaknya akan memberikan kemudahan kepada syarikat China untuk melabur di Hungary.

Szijjarto turut menegaskan China bukanlah musuh saingan Eropah, tetapi rakan kerjasama. Hungary akan terus komited untuk mempromosikan kerjasama EU-China berdasarkan saling menghormati, adil serta saling menguntungkan. – Bernama, 18 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen