
PUTRAJAYA akan mempertimbangkan untuk menambah bantuan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) jika perlu, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.
Ahli Parlimen Bera itu berkata kerajaan akan sentiasa memantau keadaan ekonomi dan juga harga barangan di negara ini, sambil menambah keputusan untuk meningkatkan bantuan akan dibuat berdasarkan penemuan mereka.
“Kita akan lihat ia (BKM) mengikut keadaan.
“Jika ada keperluan untuk menaikkannya, maka kita akan buat tetapi jika harga barang stabil, maka kita tidak akan menaikkannya,” kata perdana menteri semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Ismail menjawab soalan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim (Port Dickson-PH), yang bertanyakan tentang langkah yang diambil kerajaan untuk menangani kenaikan kos sara hidup dan harga barang.
Ismail berkata kerajaan tidak dapat memberi subsidi kepada semua makanan dan barangan yang dijual, oleh itu keputusan dibuat untuk meningkatkan pemberian kewangan.
“Kita tidak boleh memberi subsidi setiap barangan yang harga naik.
“Sebagai contoh, jika harga bawang meningkat esok, kita tidak boleh memberi subsidi kepada bawang. Jadi, kita beri wang tunai,” katanya.
Ahli Parlimen Umno itu berkata jumlah maksimum yang berpotensi diperoleh golongan berpendapatan rendah atau Bawah 40 (B40) daripada BKM ialah RM2,600, dengan peningkatan baru-baru ini sebanyak RM100 untuk isi rumah.
“Setakat ini, maksimum B40 akan dapat ialah RM2,600 setahun.
“Saya baru umumkan dalam Fasa 2 (bayaran BKM) kita akan naikkan jumlah daripada RM400 kepada RM500. Jadi, kita tambah RM100 kepada bayaran untuk jadikan RM500, bukan sekadar beri RM100,” katanya.
Pada 22 Jun lalu, Ismail mengumumkan bantuan tunai tambahan di bawah BKM sebanyak RM100 untuk isi rumah dan RM50 untuk individu bujang selepas kerajaan mengambil kira kenaikan kos sara hidup dan kenaikan harga makanan baru-baru ini.
BKM dijangka memanfaatkan kira-kira 12.6 juta individu, bersamaan dengan 60% orang dewasa di negara ini.
Bantuan tunai BKM itu akan menjadi bantuan terbesar dalam sejarah negara berbanding Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan Bantuan Sara Hidup (BSH), menjadikan peruntukan sebanyak RM8 bilion. – 18 Julai, 2022.
Komen