PRESIDEN Ukraine Volodymyr Zelensky memecat ketua pendakwa raya dan ketua agensi keselamatan negara susulan rombakan terbesar kerajaannya sejak pencerobohan Russia bermula, hampir lima bulan lalu.
Zelensky berkata beliau memecat ketua pendakwa Iryna Venediktova dan ketua keselamatan Ivan Bakanov ketika bilangan pengkhianatan dilakukan pegawai penguatkuasa undang-undang Ukraine.
“Hari ini, saya membuat keputusan untuk melepaskan tugas mereka sebagai ketua pendakwa raya dan ketua perkhidmatan keselamatan Ukraine,” kata Zelensky dalam ucapan hariannya kepada negara itu.
Beliau berkata lebih 650 kes pengkhianatan yang disyaki untuk membantu dan bersubahat dengan Russia oleh pegawai keselamatan Ukraine disiasat, termasuklah 60 kes pegawai yang kekal di wilayah diduduki Russia dan berkhidmat menentang Ukraine.
“Sejumlah besar jenayah terhadap dasar keselamatan negara dan hubungan yang terjalin antara pegawai penguatkuasa undang-undang Ukraine dan perkhidmatan khas Russia menimbulkan persoalan yang sangat serius kepada pemimpin yang berkaitan.
“Setiap persoalan itu akan dijawab,” katanya.
Venediktova mengetuai siasatan Ukraine terhadap dakwaan kekejaman yang dilakukan pencerobohan tentera Russia di bandar Bucha di luar Kyiv, yang membangkitkan kemarahan antarabangsa. – AFP, 18 Julai, 2022.
Komen