TIGA orang maut manakala tiga lagi cedera dalam kejadian tembakan di sebuah pusat beli-belah di Indiana, Amerika Syarikat (AS) pada Ahad.
“Berlaku kejadian tembakan petang ini di Greenwood Park Mall.
“Setakat ini tiga orang maut dan tiga lagi cedera, ” kata Datuk Bandar Greenwood Mark Myers dalam satu kenyataan.
Myers berkata suspek telah ditembak mati oleh “seorang individu bersenjata”.
Polis Greenwood dalam satu makluman di Facebook telah meminta saksi kejadian tampil untuk memberi keterangan.
Kejadian pada Ahad itu adalah yang terbaru dalam siri keganasan senjata api di AS, yang meragut kira-kira 40,000 nyawa setahun, menurut menurut Arkib Keganasan Senjata AS.
Ia berlaku hanya beberapa minggu selepas seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan pada perarakan Hari Kemerdekaan 4 Julai di pinggir bandar Chicago yang menyebabkan tujuh orang maut dan puluhan lagi cedera. – AFP, 18 Julai, 2022.
Komen