KDN sedia bantu KPDNHEP isu ketirisan minyak masak bersubsidi, kata menteri


Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin berkata, kementeriannya sedia bekerjasama kerana memahami ada penguatkuasaan yang boleh digunakan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Julai, 2022.

KEMENTERIAN Dalam Negeri sedia menggerakkan agensi di bawahnya seperti Polis Diraja Malaysia bagi membantu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membendung isu ketirisan minyak masak bersubsidi.

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin berkata pihaknya sedia bekerjasama dengan KPDNHEP dalam isu membabitkan kebajikan rakyat bagi memastikan tiada mana-mana pihak yang menyalahgunakan keperluan rakyat.

“Daripada pengalaman saya sebagai menteri menjaga isu yang sama semasa saya menjadi Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, saya hanya menggunakan penguatkuasaan yang ada melalui agensi di bawah kementerian saya.

“Kita bersedia beri kerjasama sebab yang penting kita memahami kita ada penguatkuasaan yang kita boleh gunakan, bukan hanya dari segi undang-undang tertentu tetapi semua yang boleh kita bantu, kita akan bantu,” katanya kepada media selepas menghadiri program ramah mesra bersama Persatuan Dunia Seni Silat Melayu Malaysia di Putrajaya hari ini.

Pada 30 Jun lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi dilaporkan berkata, kementerian itu akan ‘meminjam’ pegawai daripada agensi penguatkuasaan lain untuk melakukan operasi menangani kekurangan serta ketirisan bekalan minyak masak dalam negara.

Nanta berkata, operasi tidak hanya tertakluk di sempadan sebaliknya dalam negara terutama terhadap pengeluar atau pengilang yang disyaki cuba menggugat pasaran minyak masak tempatan.

Sementara itu, Hamzah ketika ditanya mengenai perkembangan keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) berhubung permohonan pindaan perlembagaan Umno berkata, beliau tidak mencampuri keputusan yang dibuat jabatan itu.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, saya tidak tahu apa-apa mengenai perkara itu… kalau ada sesuatu yang dibuat keputusan oleh RoS kemudian mereka nak merayu, baru datang kepada saya.

“Sebelum itu, saya tiada bidang kuasa. Ada orang kata saya ada bidang kuasa, itu tidak betul,” katanya.

Pada Mei lalu, Umno meluluskan pindaan perlembagaan parti yang membolehkan pemilihan parti diadakan tidak melebihi tempoh enam bulan selepas Pilihan Raya Umum untuk memberi ruang kepada ahli memfokus kepada gerak kerja pilihan raya. Notis pindaan perlembagaan itu dikemukakan kepada RoS pada 17 Mei.

Pada 7 Julai lalu, RoS dilapor memaklumkan keputusan berhubung permohonan pindaan perlembagaan Umno akan diketahui selewat-lewatnya pada 16 Julai. – Bernama, 17 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen