CADANGAN timbalan presiden Umno Mohamad Hasan untuk mengadakan Perjanjian Malaysia baharu adalah tipikal “sikap umum” elit politik Melayu Semenanjung terhadap perjanjian bersejarah yang membentuk Persekutuan Malaysia pada 1963, kata penganalisis Sarawak dan Sabah.
Ia juga menunjukkan ketidakpekaan Semenanjung terhadap tuntutan wilayah Borneo untuk mematuhi perjanjian itu yang digelar MA63, selepas pelaksanaan hak Sabah dan Sarawak berkurangan selama ini.
“Tok Mat bukan satu-satunya,” kata pakar Asia di Universiti Tasmania, James Chin kepada The Malaysian Insight.
“Golongan elit politik Melayu di Tanah Melayu tidak mempunyai pemahaman sebenar mengenai emosi orang di Sabah dan Sarawak yang terikat dengan MA63.
“Pendirian mereka apabila anda menyertai Persekutuan (Malaysia), anda (Sabah dan Sarawak) perlu hidup mengikut peraturan Persekutuan.
“Apa yang penting bagi mereka (Semenanjung) adalah Sabah dan Sarawak perlu berkongsi segala-galanya,” kata Chin.
Beliau merujuk kepada persoalan lama mengenai sumber minyak dan gas asli di Sarawak dan Sabah yang menjana pendapatan berbilion-bilion kepada persekutuan, tetapi hanya melihat sejumlah kecil dana persekutuan kembali ke negeri untuk pembangunan mereka.

Sabah disenaraikan sebagai negeri paling miskin di Malaysia.
Sementara itu, Sarawak cuba untuk mengambil alih perkara itu sendiri dengan menubuhkan syarikat petroleum negerinya sendiri, Petroleum Sarawak Bhd (Petros) bagi memainkan peranan lebih besar dalam sumber minyak dan gasnya sendiri melalui kerjasama dengan syarikat minyak nasional Petronas. Sejak 2019, Sarawak juga mengenakan cukai jualan 5% ke atas produk petroleum untuk meningkatkan pendapatannya.
Chin berkata, pemimpin Melayu Semenanjung “tidak mahu bercakap mengenai tidak menunaikan janji (MA63) atau isu seperti desentralisasi kuasa persekutuan”.
“Semua perkara ini tidak penting bagi mereka. Sikap mereka adalah apabila anda memasuki Persekutuan Malaysia, anda perlu hidup mengikut peraturan Persekutuan.”
Chin dan penganalisis lain ditanya mengenai kenyataan Mohamad, yang juga timbalan pengerusi Barisan Nasional dan dikenali sebagai Tok Mat, yang berkata awal bulan ini Perjanjian Malaysia Baharu diperlukan untuk bergerak ke hadapan susulan kebuntuan semasa berhubung janji yang tidak ditunaikan dalam MA63.
Ia termasuk perkongsian hasil dan hak lain yang didakwa dikurangkan terhadap Sabah dan Sarawak, termasuk meletakkan lebih ramai penduduk tempatan dalam perkhidmatan awam negeri dan bukannya meletakkan orang dari Semenanjung dalam jawatan penting perkhidmatan awam tempatan.
Mohamad berkata, cadangannya untuk perjanjian baharu kerana MA63 asal dibuat dalam masa dan konteks yang berbeza, sedangkan Malaysia kini sudah berbeza.
Beliau membuat cadangan itu ketika melancarkan Konvensyen BN Sabah di Kota Kinabalu baru-baru ini dan lantas mendapat kritikan pemimpin tempatan.
Chin berkata, kenyataan sedemikian membuktikan pemimpin Semenanjung tidak memahami tahap ketidakpercayaan rakyat di wilayah Borneo terhadap kerajaan persekutuan.
“Ia sangat tinggi. Di Sabah contohnya, ketidakpercayaan itu didorong oleh isu pendatang tanpa izin.
“Jadi sikap umum rakyat Sabah dan Sarawak adalah jika anda tidak dapat mengekalkan perjanjian pertama, tidak mungkin anda boleh memenuhi perjanjian baharu.” – 18 Julai, 2022.
Komen