Pesawat India mendarat cemas di Karachi


Penerbangan IndiGo 6E-1406 dari Sharjah ke Hyderabad dilencongkan ke Karachi kerana masalah teknikal. – Gambar fail AFP, 17 Julai, 2022.

SEBUAH pesawat India yang dalam penerbangan dari Sharjah, Emiriah Arab Bersatu (UAE) menuju ke selatan India melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Jinnah, Karachi pada Ahad.

Ia kejadian kedua berlaku bulan ini membabitkan pesawat penumpang India melakukan pendaratan cemas di Pakistan susulan masalah teknikal.

“Penerbangan IndiGo 6E-1406 dari Sharjah ke Hyderabad dilencongkan ke Karachi. Juruterbang mendapati ada masalah teknikal. Untuk mematuhi prosedur ditetapkan dan sebagai langkah berjaga-jaga pesawat itu dilencongkan ke Karachi,” menurut kenyataan media IndiGo.

Menurut pihak berkuasa penerbangan awam Pakistan (PCAA), A320 selamat mendarat pada jam 2.14 pagi waktu tempatan dan 186 penumpang dilaporkan selamat.

Penumpang terbabit kemudian berlepas ke Hyderabad menggunakan pesawat lain.

Pada 5 Julai lalu, pesawat B737 syarikat penerbangan tambang murah SpiceJet yang dalam penerbangan dari New Delhi ke Dubai melakukan pendaratan cemas di Karachi kerana masalah teknikal. – Bernama, 17 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen