KESEMUA lapan anak kapal sebuah pesawat kargo yang terhempas berhampiran bandar Kavala di Greece maut dalam nahas itu, kata menteri pertahanan Serbia pada Ahad.
Antonov An-12 yang dikendalikan oleh Ukraine membawa periuk api dan kira-kira 11 tan senjata ke Bangladesh apabila ia terhempas pada malam Sabtu, kata menteri Nebojsa Stefanovic.
Video yang dikongsi oleh saksi di media sosial menunjukkan pesawat selubungi bola api gergasi ketika ia terhempas
“Saya fikir anak kapal adalah warga Ukraine tetapi saya tidak mempunyai sebarang maklumat. Mereka bukan warga Serbia,” kata Stefanovic pada sidang akhbar.
Pesawat itu berlepas dari lapangan terbang Nis di Serbia pada kira-kira 8.40 malam (1840 GMT) pada Sabtu, dengan membawa senjata milik syarikat swasta Serbia Valir, katanya.
Media Greece berkata ia meminta pelepasan untuk melakukan pendaratan cemas di lapangan terbang Kavala tetapi tidak berjaya sampai.
Perkhidmatan penyelamat Greece menggunakan dron pada Ahad untuk memantau serpihan pesawat itu kerana bimbang kesan toksik kargo.
TV milik kerajaan berkata tentera, pakar bahan letupan dan kakitangan Suruhanjaya Tenaga Atom Greece akan ke lokasi nahas sebaik sahaja ia didapati selamat.
“Anggota daripada perkhidmatan bomba dengan peralatan khas dan alat pengukur menghampiri pusat pesawat terhempas dan melihat dari dekat fiuslaj dan bahagian lain yang bertaburan di padang,” kata pegawai bomba Marios Apostolidis kepada pemberita.
Pasukan pencari akan masuk apabila kawasan dianggap selamat, tambahnya.
Sebanyak 13 pasukan khas dari bomba, 26 anggota bomba dan tujuh jentera dikerahkan ke kawasan itu tetapi masih belum dapat mendekati lokasi nahas, kata pegawai tempatan.
Rakaman video daripada saluran tempatan menunjukkan tanda impak di padang dan kepingan pesawat bertaburan di kawasan yang luas.
Saksi berkata mereka melihat pesawat itu terbakar dan mendengar letupan.
Asap toksik
Filippos Anastasiadis, datuk bandar bandar berdekatan Paggaio, memberitahu Open TV pesawat itu terhempas kira-kira 2km dari kawasan kediaman.
Orang ramai yang tinggal dalam radius 2km dari lokasi nahas itu diminta tidak keluar rumah dan memakai pelitup muka pada malam Sabtu.
Dua anggota bomba dibawa ke hospital pada pagi Ahad kerana mengalami kesukaran bernafas disebabkan asap toksik.
Seorang lelaki tempatan, Giorgos Archontopoulos, memberitahu televisyen ERT beliau berasa ada sesuatu yang tidak kena sebaik mendengar enjin pesawat itu.
“Pada 2245 (1945 GMT) saya dikejutkan dengan bunyi enjin pesawat itu,” katanya. “Saya keluar dan melihat enjin terbakar.”
Konsul Ukraine di Thessaloniki, Vadim Sabluk, melawat kawasan itu pada Ahad.
Agensi Berita Athens berkata beliau memberikan pihak berkuasa identiti lapan anak kapal dan berkata pesawat itu dalam perjalanan ke Bangladesh.
Menteri pertahanan Serbia berkata penghantaran senjata dipersetujui dengan kementerian pertahanan Bangladesh “mengikut peraturan antarabangsa”.
“Malangnya beberapa media membuat spekulasi pesawat itu membawa senjata ke Ukraine tetapi itu tidak benar sama sekali,” katanya. – AFP, 17 Julai, 2022.
Komen