GCC, AS umum bantuan AS$11 bilion untuk keselamatan makanan


GCC dan AS umum akan menyediakan bantuan bernilai AS$11 bilion untuk menangani cabaran keselamatan makanan serantau dan antarabangsa. – Gambar EPA, 17 Julai, 2022.

ANGGOTA Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan Amerika Syarikat (AS) mengumumkan akan menyediakan bantuan bernilai AS$11 bilion untuk menangani cabaran keselamatan makanan serantau dan antarabangsa, lapor Agensi Anadolu memetik Agensi Berita Arab Saudi (SPA).

AS menyambut baik “keputusan Kumpulan Penyelarasan Arab (ACG), yang dianggotai 10 institusi pembangunan kewangan untuk menyediakan sekurang-kurangnya AS$10 bilion sebagai respons kepada cabaran keselamatan makanan,” menurut kenyataan bersama GCC dan AS pada sidang kemuncak Arab Saudi-AS di Jeddah.

Menurut kenyataan itu negara GCC juga mengalu-alukan pengumuman bantantuan AS sebanyak AS$1 bilion bagi keselamatan makanan jangka pendek dan jangka panjang untuk rantau Timur Tengah dan Afrika Utara.

GCC turut merakamkan penghargaan atas penubuhan Pasukan Petugas Gabungan 153 dan Pasukan Petugas 59 yang akan bersama meningkatkan penyelarasan pertahanan antara negara anggota GCC dan US Central Command untuk memantau ancaman maritim.

Sidang kemuncak Arab Saudi-AS diadakan semalam yang turut dihadiri Presiden Joe Biden, pemimpin dari negara GCC, Mesir, Iraq dan Jordan. – Bernama, 17 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen