Pesawat didakwa bawa kargo 'bahaya' terhempas di Greece


Pesawat kargo jenis Antonov An-12 dilihat terbakar, selain bunyi letupan kedengaran di utara Greece, kata saksi. – Gambar EPA, 17 Julai, 2022.

SEBUAH pesawat kargo jenis Antonov An-12 yang membawa muatan “berbahaya” bersama lapan individu, terhempas berhampiran Paleochori Kavalas di utara Greece, semalam.

Agensi Berita Athens melaporkan saksi berkata pesawat itu dilihat terbakar, selain mendengar bunyi letupan.

Seorang penduduk tempatan, Giorgos Archontopoulos memberitahu stesen penyiaran ERT beliau terasa ada sesuatu tidak kena apabila mendengar bunyi enjin pesawat berkenaan.

“Pada jam 22.45 malam, saya dikejutkan dengan bunyi enjin pesawat terbabit. Saya kemudian keluar rumah dan melihat enjin berkenaan sedang terbakar,” katanya.

Pegawai tempatan berkata tujuh jentera bomba dan penyelamat dikejarkan ke lokasi kejadian, namun anggota tidak dapat mendekati pesawat itu berikutan letupan berterusan.

Menurut laporan media, pesawat kargo itu dikatakan sedang dalam perjalanan dari Serbia ke Jordan, dan sudah meminta kebenaran untuk melakukan pendaratan kecemasan berhampiran Lapangan Terbang Kavala tetapi tidak sempat sampai ke sana.

ERT melaporkan ia didakwa sebuah pesawat Ukraine, manakala penduduk kampung memaklumkan kapal terbang itu dilihat terbakar sebelum terhempas. Rakaman yang disiarkan secara langsung melalui televisyen menunjukkan pesawat itu masih terbakar.

Setakat ini, tiada maklumat rasmi mengenai bilangan individu berada dalam pesawat terbabit ketika kejadian.

Bagaimanapun, menurut laporan ERT, pesawat itu dikatakan membawa lapan individu dan kargo didakwa berbahaya.

Polis dilaporkan meminta wartawan di tempat kejadian untuk memakai pelitup muka. – AFP, 17 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen