KAWASAN barat daya Eropah masuk hari keenam dilanda gelombang haba musim panas yang menyebabkan kebakaran hutan di beberapa bahagian di benua itu.
Pasukan bomba di Perancis, Portugal, Sepanyol dan Greece dikerah memadamkan kebakaran hutann yang menyebabkan kerosakan di ribuan hektar tanah, malah turut mengorbankan beberapa anggota tentera.
Ia gelombang haba panas kedua melanda kawasan itu dalam tempoh beberapa minggu ini, dengan saintis berkata ia berlaku kerana perubahan iklim dan meramalkan lebih banyak lagi episode cuaca ekstrem akan berlaku.
Pasukan tentera di Arcachon, rantau Gironde di Perancis bergelut mengawal dua kebakaran hutan di kawasan seluas 10,000 hektar sejak Selasa lalu.
“Ia bukan kerja mudah,” kata Leftenan Kolonel Olivier Chavatte, menambah 1,200 anggota tentera dan lima pesawat dikerah ke sana.
Beberapa perintah mengosongkan rumah turut dikeluarkan semalam kepada ratusan penduduk, kata jurucakap bomba Arnaud Mendousse.
Sejak Selasa, lebih 14,000 penduduk dan pelancong terpaksa keluar dari khemah, dipindahkan ke tujuh pusat perlindungan kecemasan yang dibina.
Agensi meteorologi Perancis berkata suhu mencecah 41 darjah selsius di kebanyakan kawasan di selatan Perancis. – AFP, 17 Julai, 2022.
Komen