BERPULUH-PULUH keluarga melarikan diri dari keganasan di Blue Nile, Sudan susulan berlakukan pertempuran antara dua suku, yang turut menyebabkan 33 terkorban setakat ini, kata pihak berkuasa.
Sekurang-kurangnya 108 yang lain cedera, menurut kenyataan kementerian kesihatan, dan 16 kedai dibakar sejak keganasan tercetus pada Isnin lalu berhubung perbalahan berebut tanah antara suku Berti dan Hawsa.
“Kami perlukan lebih banyak tentera untuk mengawal situasi di sini,” kata jurucakap pihak berkuasa tempatan Adel Agar.
Menurutnya, ramai penduduk mencari perlindungan di balai polis dan insiden itu menyebabkan ramai mati dan cedera.
Beliau bagaimanapun tidak memberikan jumlah tepat tetapi pihak pendamai menggesa tindakan diambil susulan keganasan semakin menjadi-jadi.
Pasukan tentera dikerahkan ke kawasan itu bagi membendung keganasan sementara perintah berkurung sebelah malam dikuatkuasakan bermula semalam.
Gabenor Blue Nile Ahmed al-Omda mengeluarkan perintah melarang sebarang perkumpulan atau perarakan selama sebulan, bermula Jumaat.
Keganasan bermula selepas suku Berti menolak perohonan Hawsa untuk mewujudkan pihak berkuasa awam bagi memantau akses kepada tanah, kata suku Hawsa.
Tetapi pemimpin Bertis berkata suku itu bertindak balas susulan pelanggaran terhadap tanahnya yang dilakukan oleh Hawsa. – AFP, 17 Julai, 2022.
Komen