Pendidikan seks bukan hanya tentang bahagian tubuh, kata Muda


Raevathi Supramaniam

Pendidikan seks dalam sukatan pelajaran kebangsaan tidak boleh dilihat daripada segi moral tetapi cara untuk memperkasakan kanak-kanak dan remaja, kata Naib Presiden Muda Teo Lee Ken. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Julai, 2022.

MEMASUKKAN pendidikan seks dalam sukatan pelajaran kebangsaan tidak boleh dilihat daripada segi moral tetapi sebaliknya dalam cara untuk memperkasakan kanak-kanak dan remaja, kata Teo Lee Ken.

Naib presiden Muda itu berkata guru juga mesti diajar cara menyampaikan pengajaran ini kepada pelajar.

“Pendidikan seks bukan sahaja perbuatan melakukan hubungan seks, tetapi ia juga terikat dengan isu sains sosial dan kemanusiaan yang lebih besar, seperti keganasan, kuasa hubungan, maruah, rasa hormat,” kata Teo kepada The Malaysian Insight.

“Perbualan yang kita ada hari ini sangat sempit dan diwarnai oleh bangsa dan agama atau sangat bermoral.”

Teo berkata tidak banyak percakapan mengenai topik keganasan dan kesaksamaan jantina, sambil menambah semuanya adalah tema penting dalam pendidikan seks.

Memandangkan pendidikan seks sudah diajar di universiti, Teo berkata tidak ada sebab mengapa ia tidak boleh diubah suai untuk dimuatkan dalam sukatan pelajaran sekolah menengah dan rendah.

“Ia boleh disesuaikan di sekolah dan dipermudahkan untuk peringkat sekolah rendah.

“Apa itu hubungan seksual, apa itu keganasan, apa itu gangguan, apa itu serangan seksual, apa itu patriarki, bilakah paksaan berlaku?

“Ini adalah tema yang lebih besar yang boleh diguna pakai. Bukan semata-mata berkaitan dengan bahagian badan atau gambar,” katanya.

Data UNICF dari 2018 menunjukkan 1,856 kanak-kanak berkahwin di Malaysia, yang mana kira-kira 90% adalah perempuan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Julai, 2022.

Peningkatan umur yang sah untuk berkahwin

Dengan pendidikan seks di sekolah, ini boleh meningkatkan kesedaran dan membantu negara bergerak ke arah meningkatkan umur sah untuk berkahwin, kata Teo.

“Kami mempunyai biro mengenai jantina dan keluarga. Salah satu perkara yang pasti akan kami tekankan adalah usaha untuk meningkatkan tahap umur, terutamanya dalam kes yang membabitkan orang Islam dan bukan Islam.

“Ia mesti berada dalam satu pakej. Ia perlu dikaitkan dengan pembaharuan lain, pembaharuan undang-undang dalam erti kata itu, kebajikan sosioekonomi, jaringan keselamatan, mewujudkan pekerjaan, menyediakan penjagaan kesihatan untuk keluarga, pendidikan dan pendidikan seks,” kata Teo.

Beliau berkata perkara paling penting yang perlu adalah kemahuan politik, yang tiada dalam kerajaan semasa.

“Tidak ada sokongan akar umbi mencukupi untuk menggerakkannya dari segi politik bagi memastikan ia berjaya. Ketiadaan kemahuan politik datang daripada keperluan parti (Umno/BN) cuba menenangkan akar umbi.

“Untuk mempunyai kemahuan politik, kita memerlukan kuasa politik dan ia hadir selepas memenangi mandat pilihan raya.

“Dari segi itu, masih banyak kerja yang perlu dilakukan di peringkat akar umbi untuk membolehkan lebih ramai orang memahami isu ini.

“Ia mesti hadir menerusi kempen, membina gerakan yang memahami dan membantu kami mengumpulkan mandat pilihan raya.”

Cadangan untuk meningkatkan umur sah perkahwinan kepada 18 tahun akan dimasukkan dalam manifesto pilihan raya Muda, tegas Teo.

Umat ​​Islam di Malaysia, yang tertakluk kepada undang-undang syariah di bawah sistem dwiperundangan negara, hanya perlu berusia 16 tahun untuk berkahwin. Orang bukan Islam sebaliknya mesti berumur sekurang-kurangnya 18 tahun.

Memandangkan isu membabitkan perkahwinan orang Islam terletak di bawah bidang kuasa negeri, Selangor kini satu-satunya negeri yang menaikkan umur perkahwinan sah kepada 18 tahun.

Sebaliknya, baki 13 negeri masih mengekalkan umur perkahwinan minimum 16 tahun.

Data daripada Dana Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCF) dari 2018 menunjukkan 1,856 kanak-kanak berkahwin di Malaysia, yang mana kira-kira 90% adalah perempuan.

Dilaporkan juga antara 2007 dan 2017, kira-kira 15,000 kes direkodkan. – 17 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen