PERBINCANGAN secara jujur mesti diadakan mengenai dasar ekonomi baharu (DEB), khususnya mengenai siapa yang mendapat manfaat dan siapa yang dipinggirkan, kata naib presiden Muda Teo Lee Ken.
Beliau berkata, walaupun pengkritik menggesa DEB dimansuhkan, ia tidak semudah itu.
“Kami berasakan ia bukan hanya soal menghapuskannya atau meneruskannya seperti sedia ada,” kata Teo kepada The Malaysian Insight.
“Ada perkara yang perlu disambung dan ada bahagian yang perlu disingkirkan dan ada juga bahagian yang memerlukan pembaharuan.
“Ia bukan hitam putih, Melayu lawan bukan Melayu, tetapi perbincangan berdasarkan dasar mengenai jurang dan apa yang perlu dilakukan.
“Dan apa yang perlu dilakukan tidak semestinya digunakan secara menyeluruh tetapi disasarkan secara khusus.”
Walaupun andaian DEB sentiasa menguntungkan sebahagian golongan elit Melayu sambil meminggirkan yang lain, Teo berkata, penyelidikan menunjukkan ia memberi manfaat kepada Bumiputera bukan Islam dan orang Melayu.
“Dari segi itu, mungkin kita faham mengapa masih ada perasaan dan sokongan yang kuat terhadap dasar itu.
“Namun untuk membicarakan secara terperinci usaha memperbaharuinya, perlu ada perbincangan baharu dan jujur mengenai keperluan untuk membincangkannya secara objektif.
“Bukan hanya diwarnai oleh politik, tetapi harus membabitkan ahli akademik, penggubal dasar, Bank Negara dan Khazanah untuk menunjukkan di mana jurangnya dan siapa yang mendapat manfaat dan siapa yang tidak,” katanya.

Apabila memperbaharui DEB itu sendiri, Teo berkata, terdapat serampang dua mata terhadap reformasi itu.
“Pertama, pembasmian kemiskinan dan kedua, perkaitan dengan fungsi ekonomi.
“Kesaksamaan sesuai dengan serampang pertama, yang bermaksud kebajikan sosial, akses asas kepada penjagaan kesihatan, perumahan adalah perkara yang harus disokong oleh negeri tanpa mengira kaum dan jantina.
“Kemudian keadilan. Ideanya adalah untuk membina kapasiti dan keupayaan untuk membolehkan penyertaan Bumiputera dan juga masyarakat India yang terpinggir. Di sinilah berlakunya keadilan.”
Perlu juga ada semakan berterusan terhadap DEB untuk membolehkannya menyesuaikan diri dengan keperluan pada masa itu, kata Teo.
Tahun lalu adalah ulang tahun ke-50 DEB.
DEB menyusun semula ekonomi politik Malaysia dan yang paling penting, mengukuhkan tindakan afirmatif pro-Bumiputera – program keutamaan untuk menggalakkan penyertaan kumpulan majoriti dalam pendidikan tinggi, pekerjaan peringkat tinggi, pengurusan dan kawalan perusahaan dan pemilikan kekayaan.
Bagaimanapun, 50 tahun kemudian, 30% pemilikan bumiputera yang ditetapkan dalam DEB masih belum tercapai.
Kuota bumiputera
Bercakap mengenai kuota bumiputera, Teo berkata, adalah penting untuk menangani siapakah golongan yang diberi kuota itu.
“Kalau ada kuota pun, siapa yang dapat kuota ini? Terdapat persoalan mengenainya.
“Adakah mereka syarikat bumiputera yang menerima tender ini, adakah ia hasil daripada tender terbuka atau tender terus? Adakah kerana mereka mempunyai kaitan politik?
“Dalam erti kata lain, perbahasan mengenai penyertaan dan kuota bumiputera dikaitkan dengan DEB, ia juga terikat dengan pembaharuan institusi,” kata Teo. – 17 Julai, 2022.
Komen