KEPUTUSAN memperkenalkan logo baharu ketika pilihan raya umum (PRU) hampir menjelang tidak memberi risiko kepada Perikatan Nasional (PN), kata pemimpin akar umbinya.
Mereka tidak menganggap langkah itu mengelirukan pengundi tetapi sebaliknya satu strategi membantu gabungan parti itu untuk mendekati pemilih tersebut di ambang PRU15.
Pemimpin PN Johor Badrul Hisham Shaharin mengakui logo sedia ada perlu ditukar ekoran beberapa kelemahan, terutama kerana hampir sama dengan lambang Barisan Nasional (BN).
Pengarah pilihan raya bagi Bersatu Johor itu berkata isu mengenai kelemahan logo juga antara yang dibangkitkan kekalahan besar PN dalam pilihan raya negeri itu dan juga di Melaka.
“Hakikat ramai yang keliru logo PN yang warnanya hampir sama dengan BN.
“Itu kita tidak nafikan selain terdapat juga isu perkataan dalam logo itu yang agak mengelirukan dan sukar untuk eja yang sepatutnya perlu diubah dalam bentuk logo.
“Jadi dengan wujudnya logo baru PN akan memudahkan jentera untuk berkempen mendekati pengundi baharu terutama golongan warga emas yang mungkin kurang biasa dengan logo PN ini.”
Beliau memberitahu The Malaysian Insight demikian bagi pengumuman Pengerusi PN Muhyiddin Yassin mengenai logo baharu yang akan diperkenalkan untuk digunakan dalam PRU15.
Presiden Bersatu itu berkata cadangan mengubah suai logo sedia ada itu dibuat dalam mesyuarat majlis tertinggi PN, dua minggu lepas.
Langkah itu dipersetujui PAS yang berpendapat logo baharu itu bertujuan mengelak kekeliruan penyokongnya.
Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata ia mengambil kira maklum balas selepas PRN Melaka dan Johor yang mendapati sebahagian penyokong keliru antara warna PN dan BN.
Mengulas lanjut, Badrul atau lebih dikenali dengan panggilan Chegu Bard itu tidak menafikan PN akan tetap berdepan dengan cabaran untuk mempromosikan logo baharu dalam masa singkat.
Bagaimanapun beliau berkata ia tidak mustahil dilakukan dengan kekuatan jentera PN yang ada pada masa kini.
“Memang agak menekan dari segi kekangan masa tapi saya percaya kita mampu atasi. Saya yakin dengan logo baharu ini akan membantu PN dalam PRU akan datang.
“Kerana kita ada logo yang lebih mewakili dengan tepat manifestasi perjuangan PN,” katanya.
Di Kedah, pemimpin akar umbi PN memberitahu mereka tiada masalah dengan keputusan pemimpin parti untuk menukar logo.
Ahli Jawatankuasa PAS Kedah Mohd Hilmi Wahab berkata, penyokong parti Islam itu akan tetap mengundi apa sahaja logo mengikut keputusan pemimpin tertinggi.
“Setakat ini akar umbi tak ada masalah tukar logo, sebab kita tengok pada parti jadi guna apa sahaja logo pun akar umbi akan sokong,” katanya.
“Tidak ada risiko atau implikasi kerana selama ini bergantung kepada kekuatan parti dan kita tahu pola pengundian (dan) faktor yang biasa ditanya kepada pengundi, apa sebab mengundi,” katanya.
Penganalisis pula melihat logo tersebut sebagai penentu kalah menang PN.
Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisomuddin Bakar menjelaskan, corak asas pengundian di negara ini berdasarkan faktor parti, calon dan isu semasa dan perkara itu sama bagi pengundi PN.
Beliau berkata ia dapat dilihat semasa PRN Sabah Melaka dan Johor, bahawa sokongan pengundi tetap utuh menggunakan logo PN.
“PN ini kalau kita lihat pola yang. berlalu di tiga PN ini , kebergantungan dan kekuatan mereka adalah kerana sokongan pengundi kepada parti.
“Seperti contoh parti itu sudah tentu ditunjangi oleh ahli atau penyokong PAS yang menjadi latar belakang kekuatan jentera PN, dan kedua. baru didukungi Bersatu.
“Dan PAS pula pula kita tahu ahlinya akan mengikut apa sahaja yang diputuskan pucuk pimpinan kerana ahli mereka setia,” katanya.
Jelasnya, isu penukaran logo juga bukan merupakan isu baru kepada PAS kerana pernah menggunakan logo kapal layar semasa menjadi kerajaan campuran PAS-Perikatan pada 1973.
Sewaktu pilihan raya kecil Cameron Highlands, ahli PAS juga dilihat tidak menentang apabila pemimpin parti meminta mereka mengundi BN, kata Hisomuddin.
Namun beliau tertanya-tanya alasan sebenar PN untuk menukar logo pada ketika ini kerana beliau tidak melihat kekalahan di PRN Johor dan Melaka sebagai pendorong utama.
“Sedangkan (dalam) PRN Sabah, PN berjaya dan ketika itu logo PN baharu sahaja diperkenalkan.
“Saya rasa ada isu lain kerana kalau kata faktor pengundi keliru kenapa peringkat awal reka bentuk sama dengan BN tidak timbul persoalan mengelirukan.
“Adakah elemen mengelirukan memberikan alternatif kepada PN. Bagi saya tidak timbul isu keliru ini bagi saya dalam konteks logo pengundi sudah matang menilai ia tidak terlalu mendesak sangat.” – 17 Julai, 2022.
Komen