WILAYAH Punjab di Pakistan sudah bersiap sedia untuk mengadakan pilihan raya kecil pada Ahad yang bakal menyaksikan pertembungan sengit antara parti Tehreek-e-Insaf (PTI) Pakistan dan Liga Muslim Pakistan-Nawaz (PML-N).
Kempen pilihan raya akan berakhir pada Jumaat malam.
Lebih 52,000 anggota polis ditempatkan di 14 daerah sebagai sebahagian daripada langkah kawalan keselamatan, lapor ARY News pada Sabtu.
Bekas perdana menteri dan pengerusi PTI, Imran Khan berucap di depan rapat umum besar-besaran sejak beberapa hari lalu ketika partinya cuba merampas kembali kuasa di Punjab selepas ia tewas ekoran undian kontroversi pada April yang menyaksikan anak Perdana Menteri Shehbaz Sharif, Hamzah Shehbaz menjadi ketua menteri wilayah itu.
Pilihan raya kecil itu diadakan bagi mengisi kekosongan kerusi ekoran tindakan ahli dewan PTI yang berpaling tadah menyokong Hamzah.
Ketika ini, Parti PML-N pimpinan Hamza, tidak memiliki majoriti mudah dalam dewan perundangan wilayah. – Bernama, 16 Julai, 2022.
Komen