PERDANA Menteri Ismail Sabri Yaakob sepatutnya masuk campur dan menyelesaikan pembekuan sementara pekerja asing dari Indonesia ke Malaysia, kata Lim Guan Eng.
Berbanding menugaskan perkara itu kepada orang lain, pengerusi DAP itu berpandangan yang penglibatan perdana menteri boleh membaiki hubungan makin tegang dengan Indonesia dalam isu itu.
“Daripada melibatkan diri sendiri dalam urusan besar ekonomi dan diplomatik, Ismail memilih untuk menugaskan dan mengarahkan Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Dalam Negeri untuk serta merta mengeluarkan memorandum persefaham (MoU) tentang pengambilan pekerja Indonesia ditandatangani dua negara.
“Bagaimana kedua-dua menteri boleh menyelesaikan masalah itu apabila mereka yang pertamanya bertanggungjawab mewujudkan masalah ini?” soal bekas menteri kewangan itu.
Rabu lepas, Indonesia berkata ia akan menghentikan sementara penghantaran rakyatnya untuk bekerja di Malaysia termasuk yang diambil untuk bekerja di sektor perladangan, menyatakan wujud pelanggaran perjanjian pengambilan pekerja ditandatangani dua negara.
Pembekuan itu adalah cabaran terbaru kepada Malaysia – pengeluar minyak sawit kedua terbesar dunia dan negara utama dalam rantaian bekalan global- yang kini berdepan kekurangan pekerja dianggarkan 1.2 juta orang yang boleh menjejaskan usaha pemulihan ekonomi.
Dalam kenyataan semalam, Ismail mengarahkan Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Dalam Negeri untuk serta merta memberikan maklum balas berkaitan isu MoU pengambilan pekerja Indonesia itu.
Menurut perdana menteri, perkara itu perlu diselesaikan segera bagi mengelak masalah antara Malaysia dan Indonesia. – 16 Julai, 2022.
Komen