GUINEA menyiasat bekas perdana menteri Ibrahima Kassory Fofana yang ditahan atas dakwaan menyeleweng lebih AS$40 juta (RM178 juta) bantuan kewangan melawan pandemik, kata pendakwa raya semalam.
Fofana berkhidmat sebagai perdana menteri di bawah bekas presiden Alpha Conde pada Mei 2018 hingga September tahun lepas, apabila tentera yang merampas kuasa menumbangkan kerajaan dipilih rakyat.
Bekas perdana menteri itu ditahan sejak April atas tuduhan penyelewengan, tetapi tiada butiran dikeluarkan tentang tuduhan tersebut.
Alphonse Charles Wright, pendakwa raya kanan dilantik pemerintahan junta berkata Fofana dituduh “menyeleweng beberapa bilion franc Guinea…berjumlah AS$46.2 juta” yang diperuntukkan untuk menangani pandemik Covid-19.
Daripada jumlah itu, sekitar AS$9 juta “dikeluarkan sepenuh atas arahan Ibrahima Kassory Fofana”, tambahnya.
“Tidak ada sebab diberikan untuk penggunaan itu.”
Siasatan juga membangkitkan “pergerakan mencurigakan dalam akaun banknya”, tambahnya lagi.
Fofana, bekas menteri pertahanan Mohamed Diane, bekas menteri alam sekitar Oye Guilavogui dan bekas menteri minyak dan gas Zakaria Coulibaly ditahan pada 6 April lepas atas tuduhan penyelewengan.
Kolone Mamady Doumbouya, bekas komander pasukan khas, yang merampas kuasa tahun lepas, menuduh Conde melakukan korupsi dan pemerintahan authoritarian.
Pemerintahan junta berjanji memerangi gejala rasuah di negara miskin Afrika Barat itu tetapi menegaskan ia tidak akan melancarkan gerakan memerangi pembantah dan musuh politiknya. – AFP, 16 Julai, 2022.
Komen