Kebakaran hutan landa barat daya Eropah


BARAT daya Eropah berdepan suhu terik untuk hari kelima, mencetuskan kebakaran hutan serta memaksa ribuan penduduk berpindah.

Bomba dikerahkan untuk operasi memadam kebakaran di Perancis, Portugal dan Sepanyol ketika Britain bersiap sedia menghadapi “gelombang haba melampau” dalam beberapa hari akan datang.

Malah pihak kaji cuaca Ireland meramalkan akan berlaku peningkatan suhu yang melampau di rantau itu.

Presiden Perancis Emmanuel Macron berikrar pihak berkuasa akan melakukan segala-galanya untuk menggerakkan sumber bagi memerangi kebakaran itu.

Gelombang haba yang menyelubungi kawasan barat daya Eropah adalah yang kedua dalam beberapa minggu, dan saintis menyalahkan perubahan iklim dan meramalkan episod cuaca ekstrem yang lebih kerap.

Di Portugal, lima wilayah di tengah dan utara—yang mana suhu mencecah rekod 47 Celsius pada Khamis sebelum turun semula—berada dalam keadaan berjaga-jaga ketika lebih 2,000 anggota bomba menangani empat kebakaran besar.

Sebuah pesawat yang sedang melakukan operasi pemadaman kebakaran hutan di wilayah Braganca turut dilaporkan terhempas pada Jumaat berhampiran Vila Nova de Foz Co di utara Portugal, membunuh juruterbangnya, kata pertahanan awam.

Kebakaran hutan telah memusnahkan 30,000 hektar (75,000 ekar) tanah tahun ini, kawasan terbesar sejak musim panas yang mengerikan di Portugal pada 2017 yang meragut nyawa kira-kira 100 orang.

Di negara jiran Sepanyol, kebakaran berlaku berhampiran Taman Negara Monfrague, kawasan perlindungan yang terkenal dengan hidupan liar di wilayah Extremadura.

Pihak berkuasa Sepanyol melaporkan hampir 20 kebakaran masih berlaku di luar kawalan dengan satu berhampiran Mijas di selatan jauh, pedalaman dari ibu kota wilayah Malaga, memaksa kira-kira 2,300 orang berpindah dari rumah mereka.

Perdana Menteri Sepanyol Pedro Sanchez menulis tweet beliau “mengikuti perkembangan kebakaran yang menimbulkan risiko melampau”. – AFP, 16 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen