Perlu tingkat kesedaran tentang penipuan dalam talian, kata KPN


Alfian Z.M. Tahir

Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani berkata kempen anti-scam polis tahun lepas telah terbukti berjaya, namun mengingatkan rakyat supaya tidak panik, terpedaya dengan pelbagai helah digunakan sindiket dalam talian. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Julai, 2022.

KEMPEN anti-scam dilancarkan oleh polis tahun lepas telah terbukti berjaya dengan penurunan ketara jumlah kes jenayah komersial di negara ini, kata Ketua Polis Negara (KPN).

Acryl Sani Abdullah Sani memberitahu The Malaysian Insight kempen itu bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai dan mengurangkan jumlah kes jenayah komersial, terutamanya penipuan dalam talian.

“Kami mahu meluaskan kesedaran orang ramai tentang penipuan dalam talian, termasuk mengurangkan ketakutan orang ramai terhadap perkara ini.

Kempen terbaharu ini meneruskan kempen serupa yang dilancarkan sebelum ini bagi memfokuskan kepada jenayah dalam talian.

“Selepas memberi maklumat dan kesedaran kepada orang ramai mengenai kes jenayah komersial, kami nampak penurunan dalam beberapa jenayah dalam talian seperti ‘love scam’,” katanya.

Beliau berkata pada 2020 terdapat 1,580 kes “love scam” tetapi selepas kempen, pada 2021 kes menurun kepada 1,460, dan setakat Mei tahun ini, polis cuma merekodkan 361 kes.

Begitu juga, untuk Macau scam, terdapat 2,254 kes pada 2020 tetapi angka itu menurun kepada 1,586 kes tahun lepas, tambah KPN.

Bagaimanapun Acryl berkata jumlah kes Macau scam meningkat kepada 1,612 kes setakat Mei tahun ini.

“Kami sedang berusaha keras untuk menurunkan jumlah kes Macau scam. Kempen yang berterusan adalah salah satu usaha terbaharu kami untuk membantu mencegah lebih banyak kes daripada berlaku,” kata Acryl.

Malaysia merekodkan 71,833 kes jenayah komersial membabitkan kerugian berjumlah RM5.2 bilion dari Januari 2020 hingga Mei tahun ini.

Acryl berkata daripada jumlah itu sebanyak 48,850 kes, atau 68 peratus, melibatkan penipuan dalam talian.

Beliau berkata dalam tempoh sama, sebanyak 26,213 kes telah didakwa di mahkamah.

Acryl berkata terdapat tanda-tanda positif daripada orang ramai berikutan kempen anti-scam tetapi mengingatkan rakyat supaya tidak panik dan terpedaya dengan pelbagai helah yang digunakan sindiket dalam talian.

“Penglibatan secara langsung daripada masyarakat amat penting bagi mengelak lebih banyak kes tetapi kita yakin masalah itu dapat diatasi berikutan petanda positif yang ditunjukkan orang ramai.

“Bagaimanapun kami ingin mengingatkan semua agar berhati-hati dengan pelbagai taktik yang digunakan sindiket.

“Mereka mesti ingat polis tidak akan bertanya dan tidak akan minta butiran peribadi seperti akaun bank melalui panggilan telefon walaupun untuk tujuan siasatan. Sebaliknya maklumat itu hanya akan ditanya melalui siasatan bersemuka,” tambahnya.

Pada November tahun lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Mohd Kamarudin Md Din berkata pihaknya akan terus menjalankan pelbagai program bagi meningkatkan kesedaran rakyat dan mengelakkan lebih ramai orang daripada menjadi mangsa penipuan dalam talian.

Beliau mengaku terdapat peningkatan kes penipuan dalam talian dari Januari hingga Oktober 2021 berbanding jumlah keseluruhan kes tahun sebelumnya.

“Sebanyak 17,109 kes dilaporkan pada 2020 melibatkan kerugian RM509,988 juta berbanding tempoh Januari hingga Oktober 2021 yang mencatatkan 17,537 kes melibatkan kerugian RM449,511 juta,” katanya. – 16 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen