KEKURANGAN bahan api yang melanda beberapa stesen Shell di Kuching pada hujung bulan lepas mungkin sudah berakhir namun syarikat minyak itu tidak menjelaskan puncanya.
Shell Malaysia pada 29 Jun, dalam satu kenyataan untuk mengesahkan kekurangan RON95 selama seminggu, memaklumkan perkara itu disebabkan oleh “cabaran logistik yang tidak dijangka”.
Bagaimanapun Shell tidak memberi penjelasan lanjut kepada The Malaysian Insight tentang maksud cabaran tersebut namun sebuah portal negeri melaporkan punca gangguan bekalan kerana kekurangan pemandu tangki.
Sebaliknya, ia memberitahu The Malaysian Insight yang ia kesal dengan gangguan itu dan berkata ia “mahu beri jaminan kepada pelanggan kami yang keadaan telah kembali normal”.
Shell juga berkata ia mempunyai pasukan yang “bekerja sepanjang masa bagi memastikan bekalan bahan api yang mencukupi untuk stesen runcit kami bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat di seluruh negara”.
“Kami tetap komited untuk menyediakan perkhidmatan berkualiti kepada semua pelanggan dan peruncit kami,” tambahnya.
Media negeri melaporkan RON95 tidak tersedia di beberapa stesen Shell di bandar ini sejak 27 Jun lalu.
Seorang pekerja stesen dilaporkan memberitahu portal tersebut sejak Mei pemintaan meningkat untuk RON95 di stesennya. – 15 Julai, 2022.
Komen