INDIA melaporkan kes pertama cacar monyet selepas seorang lelaki berusia 35 tahun dengan sejarah perjalanan ke Timur Tengah menunjukkan gejala, kata pegawai.
Kerajaan persekutuan mengerahkan pasukan pelbagai disiplin ke negeri selatan Kerala memandangkan kes cacar monyet yang disahkan di sana, menurut satu kenyataan rasmi.
Lelaki yang dalam perjalanan dari Emiriah Arab Bersatu ke Kerala pada Selasa, berada dalam keadaan stabil dan diasingkan di hospital, kata menteri kesihatan negeri Veena George kepada pemberita pada Khamis.
“Dia stabil dan semua tanda vitalnya normal. Kami sudah meminta semua daerah berwaspada,” katanya.
Kontak utama pesakit juga diasingkan manakala penumpang yang bersentuhan dengannya dalam penerbangan turut diberitahu untuk memantau diri mereka jika terdapat simptom.
Cacar monyet adalah penyakit berjangkit disebabkan oleh virus yang disebarkan kepada manusia oleh haiwan yang dijangkiti. Penularan dari manusia ke manusia bermungkinan tetapi dianggap jarang berlaku.
Lonjakan jangkitan cacar monyet dilaporkan sejak awal Mei di luar negara Barat dan Afrika Tengah di mana penyakit itu sekian lama menjadi endemik.
Setakat ini, kes yang disahkan di kawasan bukan endemik secara amnya adalah ringan dan tiada kematian dilaporkan.
Ia dianggap kurang berbahaya dan menular berbanding cacar, yang dihapuskan lebih 40 tahun lalu.
Gejala awal cacar monyet ialah demam melebihi 38.5 darjah Celsius, sakit kepala, sakit otot dan sakit belakang dalam tempoh lima hari.
Ruam seterusnya muncul di muka, tapak tangan dan tapak kaki, diikuti luka, bintik-bintik dan akhirnya kudis.
Jangkitan berlaku melalui kontak rapat dan berpanjangan antara dua orang, terutamanya melalui air liur atau nanah kudis yang terbentuk semasa jangkitan.
Kebanyakan jangkitan cacar monyet setakat ini dipantau pada lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki, berusia muda dan terutamanya di kawasan bandar, menurut WHO.
Penyakit ini mempunyai kadar kematian antara satu hingga 10% bergantung kepada varian di negara endemik.
Tetapi penjagaan perubatan mengurangkan risiko dengan ketara. Kebanyakan pesakit pulih dengan sendirinya dan wabak biasanya mati dengan sendirinya kerana kebolehjangkitan virus yang rendah. – AFP, 15 Julai, 2022.
Komen