PELETAKAN jawatan presiden Sri Lanka telah diterima, umum speaker Parlimen negara yang dilanda krisis itu pada Jumaat.
Pengumuman itu dibuat sejurus Gotabaya Rajapaksa menghantar e-mel letal jawatan dari Singapura, selepas melarikan diri dari Colombo ke Maldives awal minggu ini dan kemudiannya ke republik itu pada Khamis.
Pengisytiharan rasmi itu menjadikan Rajapaksa – yang pernah dikenali sebagai “The Terminator” kerana menumpaskan pemberontak Tamil yang kejam – ketua negara Sri Lanka pertama meletak jawatan sejak negara itu mengguna pakai jawatan presiden eksekutif pada 1978.
“Gotabaya Rajapaksa telah meletak jawatan secara sah” berkuat kuasa Khamis, umum speaker Mahinda Yapa Abeywardana kepada pemberita. “Saya telah terima peletakan jawatannya.”
Di bawah perlembagaan Sri Lanka, Perdana Menteri Ranil Wickremesinghe – yang turut didesak letak jawatan oleh penunjuk perasaan – secara automatik menjadi pemangku presiden sehingga Parlimen memilih ahli Parlimen untuk menggantikan Rajapaksa.
Para penggubal undang-undang akan dipanggil pada Sabtu, kata Abeywardana kepada pemberita, menambah beliau berharap untuk menyelesaikan proses pemilihan “dalam masa tujuh hari”.
Peletakan Rajapaksa berlaku selepas berbulan-bulan bantahan terhadap apa yang dikatakan pengkritik sebagai salah urus ekonomi yang teruk negara pulau itu, sehingga membebankan 22 juta rakyat dengan pelbagai krisis termasuk bekalan makanan dan bahan api. – AFP, 15 Julai, 2022.
Komen