Kanada luluskan vaksin Covid-19 untuk bayi 6 bulan hingga 5 tahun


Dos vaksin untuk bayi berumur 6 bulan hingga 5 tahun adalah satu perempat daripada dos dewasa, dan dos kedua diberikan sekurang-kurangnya sebulan selepas dos pertama. – Gambar EPA, 15 Julai, 2022.

KANADA meluluskan penggunaan vaksin jenis Moderna untuk bayi dan kanak-kanak berusia enam bulan hingga lima tahun, berdasarkan kajian saintifik mendapati vaksin itu “selamat dan berkesan”, menurut Agensi Kesihatan Awam Kanada, Health Canada pada Khamis.

“Selepas kajian saintifik yang menyeluruh, jabatan memastikan vaksin itu selamat dan berkesan untuk mencegah Covid-19 terhadap kanak-kanak berumur antara enam bulan hingga lima tahun,” lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan agensi itu di Twitter.

Dos yang diluluskan adalah satu perempat daripada dos dewasa, dan dos kedua akan diberikan sekurang-kurangnya sebulan selepas dos pertama.

Health Canada memaklumkan pihaknya akan memantau kesan sampingan vaksin, memandangkan ini adalah pertama kali vaksin Covid-19 diluluskan untuk kumpulan umur itu.

Syarikat pengilang turut diarahkan untuk memberi laporan berterusan mengenai vaksinasi. 

Kajian menunjukkan vaksin yang diberikan kepada kumpulan itu mempunyai hasil sama seperti vaksinasi terhadap golongan belia berumur 18 hingga 25 tahun.

Kelulusan itu bermakna kira-kira 2 juta kanak-kanak kini layak untuk menerima suntikan vaksin.

Kesan sampingan termasuk sakit, mengantuk, hilang selera makan, demam, bengkak pada tempat suntikan, sakit otot dan sakit perut mungkin terjadi. – Bernama, 15 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen