TIGA kanak-kanak maut semalam akibat tanah runtuh yang menimbus sebuah sekolah luar bandar di perbandaran penanaman kopi Andes di barat laut Colombia, kata pihak berkuasa.
Tanah runtuh itu terkena sekumpulan kanak-kanak prasekolah dan darjah satu yang sedang berehat bersama seorang guru dan ibu kepada seorang pelajar.
“Kami menyampaikan berita yang sangat menyedihkan: tiga kanak-kanak kehilangan nyawa mereka dalam kejadian ini,” kata Datuk Bandar Andes, Carlos Osorio, kepada media, tanpa menyatakan umur mereka.
Laporan awal mengatakan lapan kanak-kanak terperangkap.
“Nasib baik, 17 pelajar selamat keluar… guru dan ibu juga,” kata Osorio sambil menambah dua lagi kanak-kanak sudah berada dalam keadaan stabil di hospital berdekatan.
Puluhan penduduk kampung membantu penyelamat daripada tentera dalam usaha menyelamatkan kanak-kanak itu.
Rakaman video yang dikongsi di media sosial menunjukkan puluhan penduduk dengan penyodok cuba mengalihkan timbunan pokok dan runtuhan. Dua mesin penggali turut dikerahkan.
Eliana Rincones, satu-satunya guru sekolah itu, memberitahu wartawan terdapat 22 kanak-kanak yang hadir ketika kejadian tanah runtuh.
“Kami sedang berehat apabila tiba-tiba mendengar sesuatu yang sangat kuat; kami semua berpaling (untuk melihat) dan dalam beberapa saat kami semua berlari,” katanya.
“Kami tidak tahu ke mana kami lari.”
Tanah runtuh itu adalah akibat hujan lebat yang melanda sebahagian besar Colombia akibat fenomena cuaca La Nina.
Hujan dijangka berterusan sehingga September, menurut institut meteorologi. – AFP, 15 Julai, 2022.
Komen