Penyakit bawaan haiwan di Afrika meningkat 63% dalam tempoh sedekad 


Afrika menyaksikan peningkatan 63% dalam wabak penyakit zoonosis sejak sedekad lalu berbanding tempoh 2001 hingga 2011. – Gambar EPA, 15 Julai, 2022.

AFRIKA berdepan ancaman yang semakin meningkat daripada penyakit zoonosis seperti cacar monyet, kata Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) pada Khamis, dengan benua itu merekodkan peningkatan 63% dalam wabak sedemikian sejak sedekad lalu.

Analisis WHO mendapati 1,843 “peristiwa kesihatan awam”, seperti wabak penyakit, di Afrika antara 2001 hingga 2022.

Sebanyak 30% daripada kejadian itu adalah wabak penyakit yang disebarkan kepada manusia oleh haiwan, yang dikenali sebagai penyakit zoonosis.

Contohnya, ebola, demam denggi, antraks, sampar dan cacar monyet.

Afrika menyaksikan peningkatan 63% dalam wabak penyakit zoonosis sejak sedekad lalu berbanding tempoh 2001 hingga 2011, kata WHO dalam satu kenyataan.

Pengarah WHO Afrika Matshidiso Moeti dipetik dalam kenyataan itu berkata, infrastruktur pengangkutan yang lemah pernah mengehadkan jangkitan zoonosis besar-besaran di benua itu.

Tetapi Afrika boleh menjadi “punca penyakit berjangkit yang baharu,” beliau memberi amaran kerana hubungan pengangkutan yang lebih baik meningkatkan ancaman patogen zoonosis menular ke bandar.

Moeti menggesa penyelidik dengan kepakaran berbeza agar bekerjasama rapat bagi membendung penyakit zoonosis. 
“Apabila kita memecahkan tembok antara disiplin, barulah kita boleh menangani semua aspek tindak balas,” katanya.

Para saintis sering memberi amaran mengenai risiko penyakit bawaan haiwan, terutamanya apabila populasi manusia yang semakin meningkat semakin rapat dengan spesies liar melalui pemburuan atau kehilangan habitat.

Tempoh kajian termasuklah ketika permulaan wabak Covid-19. Novel koronavirus yang muncul di China disyaki daripada haiwan sebelum diklasifikasikan sebagai penyakit manusia apabila ia merebak. – AFP, 15 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen