Isteri pertama Donald Trump meninggal dunia 


Ivana Trump ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di apartmennya di Manhattan, New York.– Gambar EPA, 15 Julai, 2022.

ISTERI pertama Donald Trump, Ivana Trump meninggal dunia pada usia 73 tahun, umum bekas presiden itu.

Ivana Trump “meninggal dunia di kediamannya di New York,” tulis Donald Trump di platform media sosialnya, Truth Social.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan punca kematian namun menurut laporan New York Times, pihak berkuasa sedang menyiasat sama ada mendiang jatuh dari tangga di kediamannya di apartmen Manhattan.

Jurucakap Jabatan Polis New York memberitahu AFP dalam satu kenyataan melalui e-mel bahawa pegawai menjawab panggilan di alamatnya di Upper East Side sekitar jam 12:40 tengah hari.

“Sebaik tiba, pegawai berkenaan melihat seorang wanita berusia 73 tahun tidak sedarkan diri dan tiada tindak balas. EMS (perkhidmatan perubatan kecemasan) bergegas ke lokasi dan menyatakan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian,” kata jurucakap itu.

Tambah kenyataan itu, “nampaknya tidak ada sebarang unsur jenayah” dan pemeriksa perubatan bandar itu akan menentukan punca kematian.

Donald Trump, 76, menerusi catatan media sosialnya berkata Ivana Trump “adalah seorang wanita yang hebat, cantik, dan menakjubkan, yang menjalani kehidupan yang hebat dan memberi inspirasi.”

“Kebanggaan dan kegembiraannya ialah tiga anaknya, Donald Jr., Ivanka dan Eric. Dia sangat bangga dengan mereka, kerana kami semua sangat bangga dengannya. Rest In Peace, Ivana!” tambahnya.

Ivana Trump, seorang model yang dibesarkan di bawah pemerintahan komunis di Czechoslovakia, berkahwin dengan Donald Trump pada tahun 1977.

Anak pertama mereka, Donald Jr., dilahirkan pada tahun itu. Ivanka dilahirkan pada tahun 1981 dan diikuti oleh Eric pada tahun 1984. – AFP, 15 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen