Puluhan pendatang diselamatkan dari Gurun Nigeria, kata PBB


Pendatang Afrika Barat cuba masuk ke Libya sebelum menyeberangi Mediterranean untuk ke Eropah bagi mencari kehidupan lebih baik. – Gambar EPA, 15 Julai, 2022.

SERAMAI 44 pendatang Afrika Barat yang ingin sampai ke Libya diselamatkan di padang pasir di utara Niger, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Khamis.

Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM) berkata 44 pendatang telah diselamatkan dua hari selepas kenderaan mereka rosak dan pemandu mereka meninggalkan mereka.

Kumpulan itu, yang terdiri daripada 29 lelaki, 12 wanita dan tiga kanak-kanak perempuan ditemui kira-kira 20 kilometer (12 batu) dari bandar Dirkou di timur laut Niger, kata IOM.

Mereka dibawa ke pusat transit berhampiran untuk rawatan awal, tambah IOM.

Operasi menyelamat pada 6 Julai dibuat hanya beberapa hari selepas 10 pendatang ditemui mati di wilayah itu, yang menyebabkan Niamey melancarkan siasatan mengenai punca kematian mereka.

Ramai pendatang Afrika Barat cuba masuk ke Libya dengan harapan dapat menyeberangi Mediterranean untuk kehidupan yang lebih baik di Eropah.

Dirkou adalah laluan utama untuk penyeludupan pendatang, senjata dan dadah ke utara Libya dan kemudian ke Eropah.

Ia juga merupakan lokasi tapak perlombongan emas yang menarik perhatian warga Nigeria dan lain-lain dari negara jiran. – AFP, 15 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen