SERANGAN peluru berpandu Rusia ke atas Vinnytsia di tengah Ukraine pada Khamis, mengorbankan sekurang-kurangnya 23 orang termasuk tiga kanak-kanak.
Ia disifatkan oleh Presiden Volodymyr Zelensky sebagai “tindakan keganasan terbuka”.
Serangan tengah hari itu berlaku ketika pegawai EU bersidang di The Hague untuk membincangkan jenayah perang di Ukraine.
“Terdapat lapan roket, dua daripadanya melanda pusat bandar. Dua puluh orang telah terkorban, termasuk tiga kanak-kanak. Terdapat sejumlah besar orang awam yang cedera,” kata Zelensky semasa berucap kepada pegawai Eropah di The Hague.
Pasukan penyelamat kemudian mengemas kini angka kematian kepada 23, mengatakan pencarian untuk 39 orang lagi masih diteruskan.
Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres berkata beliau terkejut dengan serangan itu, manakala EU menyelarnya sebagai kekejaman.
Zelensky turut menggesa pegawai Mahkamah Jenayah Eropah dan Antarabangsa untuk membuka tribunal khas terhadap pencerobohan Rusia.
“Saya percaya tidak dapat dielakkan bahawa Mahkamah Jenayah Antarabangsa akan membawa akauntabiliti kepada mereka yang bersalah atas jenayah di bawah bidang kuasanya: jenayah perang, jenayah terhadap kemanusiaan, pembunuhan beramai-ramai.” – AFP, 15 Julai, 2022.
Komen