Menteri Sarawak jelaskan kenapa pindaan tafsiran peribumi belum diwarta


Desmond Davidson

Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Undang-Undang, MA63 dan Perhubungan Negeri-Persekutuan) Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata kerajaan negeri sedang merangka syarat-syarat bagi menentukan tafsiran peribumi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Julai, 2022.

PINDAAN takrifan peribumi dalam Ordinan Tafsiran Sarawak masih belum diwarta kerana kerajaan negeri sedang merangka syarat-syarat kelayakan, kata menteri hal ehwal undang-undang Sarawak.

Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Undang-Undang, MA63 dan Perhubungan Negeri-Persekutuan) Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata kerajaan negeri perlu memastikan syarat yang sesuai, munasabah serta praktikal, dan yang penting tidak lewah.

Katanya, kerajaan juga telah mengarahkan agensi berkaitan seperti Majlis Adat Istiadat Sarawak dan Mahkamah Anak Negeri Sarawak bersama-sama Jabatan Peguam Negara Negeri untuk meneliti perkara itu secara menyeluruh.

“Sebaik sahaja siap, draf akan dibentangkan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk diluluskan,” kata Sharifah Hasidah dalam kenyataan.

Ordinan itu diluluskan Dewan Undangan Negeri Sarawak pada 15 Februari. Tambah beliau, sebaik sahaja diluluskan ia akan diwarta untuk dikuatkuasakan.

Sharifah Hasidah menjawab pertanyaan Adun Ba’kelalan Baru Bian semalam, mengenai kelewatan pewartaan pindaan Ordinan Tafsiran.

Baru juga berkata Sharifah Hasidah pada Februari lalu memberitahu pewartaan akan dilakukan secepat mungkin dalam tempoh dua minggu dan selepas diwartakan, semua perkara yang termaktub dalam Rang Undang-Undang Tafsiran (Pindaan) 2022 boleh dilaksanakan.

RUU Tafsiran (Pindaan) 2022 diluluskan selepas mendapat persetujuan sebulat suara ahli DUN Sarawak bagi menyelesaikan banyak masalah undang-undang serius melibatkan anak-anak hasil perkahwinan campur termasuk isu waris dan pemindahan hak milik tanah.

Dengan pindaan kepada Perkara 161A Perlembagaan Persekutuan, kerajaan negeri diberi kuasa untuk menentukan kaum mana yang akan dianggap sebagai peribumi mengikut undang-undang negeri.  

Pindaan itu memberi status peribumi kepada anak-anak hasil perkahwinan campur di mana salah seorang ibu bapa mereka adalah peribumi; iaitu seseorang yang merupakan warganegara dan anak kandung daripada kaum asal Sarawak.

Ia sekali gus memberi gambaran lebih jelas bahawa hanya salah seorang ibu bapa adalah kaum peribumi, membolehkan anak itu dianggap peribumi. – 14 Julai, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen