PENUNJUK perasaan antikerajaan Sri Lanka sedang berbincang pada Khamis untuk menyerahkan semula bangunan rasmi yang mereka rampas, kata wakilnya, ketika mereka mendesak presiden dan perdana menteri letak jawatan.
Pada hujung minggu, penunjuk perasaan menyerbu istana Presiden Gotabaya Rajapaksa sehingga memaksa beliau cabut lari ke Maldives pada Rabu, ketika aktivis turut menyerbu pejabat Perdana Menteri Ranil Wickremesinghe.
Perdana menteri yang Rajapaksa lantik sebagai pemangku presiden semasa ketiadaannya, telah menuntut pemindahan bangunan negara dan mengarahkan pasukan keselamatan melakukan “apa yang perlu untuk memulihkan keadaan”.
Seorang sami Buddha terkemuka yang menyokong kempen itu menggesa agar istana presiden yang berusia lebih 200 tahun itu diserahkan kembali kepada pihak berkuasa dan memastikan seni dan artifaknya yang berharga dipelihara.
“Bangunan ini adalah khazanah negara dan ia harus dilindungi,” kata sami Omalpe Sobitha kepada pemberita. “Mesti ada audit yang betul dan harta itu dikembalikan kepada negara.”
Beratus-ratus ribu orang telah masuk ke perkarangan itu sejak ia dibuka kepada orang ramai selepas Rajapaksa melarikan diri dan pengawal keselamatannya berundur.
“Ada langkah untuk mengembalikan semula bangunan kepada pihak berkuasa,” kata seorang aktivis yang terlibat dalam kempen #GotaGoHome kepada AFP.
Dalam ucapan di televisyen selepas beribu-ribu orang menawan pejabatnya di Colombo, Wickremesinghe mengisytiharkan: “Mereka yang pergi ke pejabat saya mahu menghalang saya daripada melaksanakan tanggungjawab saya sebagai pemangku presiden.
“Kita tidak boleh benarkan fasis mengambil alih. Itulah sebabnya saya isytihar darurat di seluruh negara dan perintah berkurung,” tambahnya.
Perintah berkurung telah ditarik balik pada subuh Khamis, tetapi polis berkata seorang askar dan seorang konstabel cedera dalam pertempuran semalaman dengan penunjuk perasaan di luar Parlimen.
Percubaan ke atas badan perundangan itu telah dipatahkan kerajaan, tidak seperti di lokasi lain di mana penunjuk perasaan mencapai kejayaan yang menakjubkan.
Hospital utama di Colombo berkata kira-kira 85 orang telah dimasukkan kerana cedera pada Rabu, dengan seorang lelaki sesak nafas dan maut selepas serangan gas pemedih mata di pejabat perdana menteri.
Rajapaksa telah berjanji untuk meletak jawatan pada Rabu, namun sehingga kini belum mengumumkan.
Beliau kekal di Maldives, dilaporkan menunggu jet peribadi untuk membawanya, isterinya Ioma dan dua pengawal peribadi ke Singapura.
Sumber diplomatik berkata, percubaan Rajapaksa untuk mendapatkan visa ke Amerika Syarikat (AS) telah ditolak kerana beliau telah melepaskan kerakyatan AS pada 2019 sebelum bertanding jawatan presiden. – AFP, 14 Julai, 2022.
Komen