Mana tablet pelajar kerajaan janjikan? soal ahli Parlimen


Ravin Palanisamy

Ahli Parlimen DAP Kulai Teo Nie Ching mempersoalkan Putrajaya bilakah para pelajar akan mendapat peranti yang dijanjikan sedangkan kerajaan sudah maklumkan tarikh agih peranti seawal Jun lepas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Julai, 2022.

SUDAH dua bulan sejak permohonan fasa pertama program PerantiSiswa ditutup namun sehingga kini pelajar masih belum dapat peranti tersebut, kata Teo Nie Ching.

Bekas timbalan menteri pendidikan itu berkata kerajaan cuma “buat sedikit” untuk tangani perkara tersebut sedangkan kelas sedang berjalan.

“Kami ingin tahu berapa ramai pemohon, berapa ramai layak dan bila mereka yang layak akan dapat tablet yang dijanjikan?” soalnya.

Ahli Parlimen DAP Kulai itu berkata fasa satu permohonan itu tamat pada 15 Mei, mendakwa pelajar mengadu tidak menerima sebarang maklum balas.

Pakej PerantiSiswa Keluarga Malaysia (PRSIS) diumumkan semasa pembentangan Bajet 2022 pada Oktober tahun lalu selaras dengan hasrat kerajaan untuk memastikan rakyat khususnya pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) memiliki peralatan yang diperlukan selain menikmati capaian internet pada kos yang berpatutan.

Teo mendakwa Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa pada 9 Mei mengumumkan kumpulan pertama pelajar akan menerima tablet tersebut di bawah program PRSIS pada minggu kedua Jun, yang turut dinyatakan di laman web Kementerian Kewangan.

“Sekarang sudah masuk minggu ketiga Julai tetapi kita belum nampak fasa pertama program PerantiSiswa berlangsung. Pemohon tidak sabar-sabar dan ibu bapa pemohon berharap anak-anak mereka dapat tahan walaupun berdepan dengan cabaran pasca pandemik.

“Buat masa ini, kita tidak ada sebarang jaminan daripada kerajaan yang tablet itu benar-benar akan diedarkan menjelang Julai. Dalam pada itu, adakah Kementerian Komunikasi dan Multimedia boleh yakinkan pelajar?

“Ini amat penting kepada mereka yang telah memohon supaya maklum balas dan pengakuan akan meyakinkan pelajar tentang beberapa bentuk bantuan dalam masa terdekat,” katanya. – 14 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen