TANZANIA menghantar sepasukan doktor dan pakar kesihatan untuk menyiasat penyakit misteri yang meragut nyawa tiga individu di wilayah Lindi, tenggara negara itu.
Gejala penyakit itu termasuk demam, sakit kepala, keletihan dan pendarahan hidung, kata Ketua Pegawai Perubatan kerajaan Aifello Sichalwe dalam satu kenyataan.
Setakat ini, 13 kes dilaporkan di Lindi, termasuk tiga maut.
Sichalwe berkata ujian terhadap pesakit bagaimanapun menunjukkan keputusan negatif untuk virus Ebola, Marburg serta Covid-19.
“Seorang daripada pesakit sudah pulih sepenuhnya manakala yang lain sedang diasingkan.
“Kerajaan membentuk satu pasukan profesional yang masih menyiasat penyakit yang tidak diketahui ini,” katanya, menambah orang ramai di kawasan itu diminta bertenang.
Ghana minggu lalu melaporkan dua kes disyaki virus Marburg, yang termasuk dalam keluarga sama dengan Ebola dan mempunyai gejala termasuk demam panas dan pendarahan dalaman dan luaran.
Presiden Tanzania Samia Suluhu Hassan berkata penyakit misteri dan pelik yang dilaporkan di Lindi mungkin disebabkan “interaksi yang semakin meningkat” antara manusia dan haiwan liar akibat kemerosotan alam sekitar. – AFP, 14 Julai, 2022.
Komen