PERBICARAAN kes meminda laporan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan Najib Razak ditangguhkan hari ini selepas saksi pendakwaan terakhir dilaporkan sakit.
Ketua pendakwa raya Gopal Sri Ram memaklumkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang pegawai penyiasat Haniff Lami, saksi ke-16 dan terakhir perbicaraan, tidak dapat memberi keterangan di mahkamah kerana didiagnosis mengalami pendarahan usus.
Tarikh perbicaraan seterusnya ialah pada 12 Ogos.
“Saksi seterusnya ialah saksi terakhir, Encik Haniff, pegawai penyiasat, beliau sakit kerana mengalami pendarahan usus.
“Semalam, pada saat-saat akhir, saya cuba membuat perancangan untuk mendapatkan keterangan melalui Zoom tetapi malangnya, kami tidak mempunyai masa mencukupi untuk memaklumkan mahkamah untuk membuat perancangan itu.
“Jika tidak, kami akan meneruskan keterangannya secara elektronik.
“Saya minta maaf kerana komunikasi semalam, petang semalam hampir jam 7 malam beliau disahkan oleh doktor tidak dapat hadir. Sijil sakitnya di mahkamah, beliau diizinkan selama dua hari, keadaannya agak teruk kerana mengalami pendarahan daripada ususnya,” kata ketua pendakwa raya itu.
Bagaimanapun, Sri Ram berkata Haniff dijangka hadir untuk memberi keterangan pada tarikh perbicaraan yang dijadualkan 12 Ogos depan.
Hakim perbicaraan Mohamed Zaini Mazlan kesal dengan keadaan kesihatan saksi ketika dimaklumkan.
Zaini juga berkata tarikh perbicaraan seterusnya pada 12 Ogos boleh disambung semula dengan peguam bela utama Najib, Muhammad Shafee Abdullah meneruskan soal balasnya terhadap saksi pendakwaan ke-15 Arul Kanda Kandasamy dan dengan Haniff bersiap sedia untuk memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan terakhir.
Najib, 68, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan kepada laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara bagi mengelak sebarang tindakan diambil terhadapnya, manakala Arul, 45, didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 dan 26 Februari 2016.
Kedua-dua mereka didakwa mengikut seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – 14 Julai, 2022.
Komen