SEBAHAGIAN besar Sepanyol diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga pada Rabu apabila suhu meningkat melebihi 45 darjah Celsius dengan kawasan Eropah barat dilanda gelombang haba kedua dalam beberapa minggu.
Perancis dan Portugal juga menyaksikan suhu terik minggu ini, dan kebakaran hutan berlaku di ketiga-tiga negara.
Agensi meteorologi Sepanyol, Aemet berkata beberapa wilayah dalam keadaan “lemas”, terutamanya paling teruk terjejas di Andalusia di selatan, Extremadura di barat daya dan Galicia di barat laut.
Mereka semua diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga, bermakna penduduk diminta berhati-hati dan memantau ramalan cuaca. Perjalanan tidak dinasihatkan melainkan ia sangat diperlukan.
Selain kepulauan Canary, semua wilayah lain di Sepanyol diletakkan pada tahap berjaga-jaga yang lebih rendah kerana haba.
Suhu tertinggi di Sepanyol pada Rabu dicatatkan di bandar Almonte di Andalusia yang mencecah 45.6 darjah Celsius (114.1 Fahrenheit) pada 5.30 petang (1530 GMT).
Beberapa bandar selatan lain seperti Seville dan Cordoba mengalami suhu melebihi 44 darjah Celsius.
Gelombang haba itu, yang bermula hujung minggu lalu dijangka berlarutan sehingga Ahad.
Kebakaran hutan memusnahkan sekurang-kurangnya 3,500 hektar (8,600 ekar) di barat Sepanyol berhampiran sempadan dengan Portugal.
Pihak berkuasa di Portugal berkata seorang maut dalam kebakaran hutan, selepas mayat ditemui di kawasan terbakar di wilayah utara Aveiro.
Di Sepanyol, hampir 500 penduduk dipindahkan buat sementara waktu akibat kebakaran di barat laut Madrid, yang cuba dikawal oleh anggota bomba pada Rabu, kata perkhidmatan kecemasan serantau.
Gelombang haba semakin kerap berlaku disebabkan perubahan iklim, kata saintis. Apabila suhu global meningkat dari semasa ke semasa, ia dijangka menjadi lebih buruk.
Sepanyol mengalami kemarau tahun ini, dengan rizab air turun kepada 44% kapasiti, berbanding purata 65% pada tempoh yang sama sejak 10 tahun lalu.
Suhu paling panas pernah direkodkan di Sepanyol ialah 47.4 Celsius pada Ogos tahun lalu. – AFP, 14 Julai, 2022.
Komen