89 maut di Haiti akibat krisis makanan, keganasan geng


Pergolakan terbaru tercetus 7 Julai lalu antara dua kumpulan yang bersaing merebut kawasan di Cite Soleil, kejiranan Port-au-Prince yang miskin dan berpenduduk padat. – Gambar EPA, 14 Julai, 2022.

PERTEMPURAN kumpulan gengster bersenjata di ibu kota Haiti dalam tempoh seminggu, menyebabkan sekurang-kurangnya 89 maut dan berpuluh yang lain cedera, kata kumpulan hak asasi manusia.

Keganasan terbaru itu ditambah dengan krisis harga makanan melambung tinggi dan kekurangan bahan api menjejaskan keselamatan di bandar itu.

Pergolakan terbaru tercetus 7 Julai lalu antara dua kumpulan yang bersaing merebut kawasan di Cite Soleil, kejiranan Port-au-Prince yang miskin dan berpenduduk padat.

“Sekurang-kurangnya 89 terbunuh manakala 16 individu hilang,” kata Rangkaian Pertahanan Hak Asasi Manusia Kebangsaan dalam satu kenyataan, sambil menambah 74 lagi cedera akibat ditembak atau pisau.

Pertubuhan kemanusiaan antarabangsa itu bekerja keras untuk menghantar bekalan makanan ke kawasan yang terjejas serta menyediakan rawatan perubatan kepada mangsa.

Ketua misi tempatan Doktor Tanpa Sempadan Mumuza Muhindo turut menggesa kumpulan yang bertempur membenarkan kakitangan perubatan badan bukan kerajaan itu untuk memasuki Brooklyn, kawasan yang paling terjejas dengan keganasan.

Muhindo berkata rakan sekerjanya melihat mayat terbakar dan reput di sepanjang jalan menuju ke kawasan kejiranan itu.

“Ia adalah medan perang sebenar, mustahil untuk menganggarkan berapa ramai yang terbunuh,” kata Muhindo. – AFP, 14 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen