NEW York City menegaskan kepada kerajaan Amerika Syarikat (AS) mengenai keperluan mendesak vaksin cacar monyet ketika kes semakin meningkat, kata datuk bandarnya pada Rabu.
Metropolis terbesar di Amerika itu merekodkan 336 jangkitan tetapi ia tidak mungkin mencerminkan jumlah sebenar, menurut jabatan kesihatan bandar itu.
Kes rasmi meningkat daripada 267 pada Selasa, naik daripada 223 sehari sebelumnya.
Sesiapa sahaja boleh mendapat dan menyebarkan cacar monyet tetapi banyak kes ditemui pada lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki.
Bandar dengan kira-kira 9 juta penduduk itu adalah tempat kepada komuniti gay yang besar dan pihak berkuasa kesihatan terpaksa memohon maaf minggu ini selepas laman web tempahan vaksinnya tidak berfungsi apabila ia dibanjiri dengan individu yang cuba membuat temu janji.
Kira-kira 1,250 slot tersedia tetapi ramai pengguna media sosial menyatakan kekecewaan kerana tidak dapat membuat temujanji.
Datuk Bandar Eric Adams berkata beliau mengadakan pertemuan telefon dengan Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia AS dan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit.
“Kami membincangkan kekangan bekalan yang dihadapi New York City dan keperluan mendesak untuk mengembangkan jejak akses vaksin kami kepada lebih ramai orang, di lebih banyak kawasan kejiranan, melalui lebih banyak rakan kongsi dan pembekal,” katanya dalam satu kenyataan.
New York dijangka menerima 14,500 dos daripada kerajaan AS minggu ini, menambah kepada hampir 7,000 dos yang diterima sejak 23 Jun.
Perkhidmatan kesihatan mengutamakan vaksinasi dua dos untuk gay, biseksual atau lelaki lain yang melakukan hubungan seks dengan lelaki, serta untuk transgender dan bukan binari.
Cacar monyet adalah penyakit virus endemik di negara Afrika Barat dan Tengah yang menyebabkan gejala seperti demam dan ruam.
Ia serupa dengan tetapi kurang teruk berbanding cacar, tetapi boleh menjadi lebih berisiko pada individu yang mempunyai masalah imun. Ia disebarkan terutamanya melalui kontak rapat. – AFP, 14 Julai, 2022.
Komen