Sisa mayat 8,000 mangsa perang Nazi ditemui di Poland


Gambar kenangan di tapak peringatan dibina di kawasan bekas kem tahanan Nazi di Oswiecim, Poland. – Gambar AFP, 14 Julai, 2022.

SEBUAH kubur besar mengandungi sisa mayat kira-kira 8,000 manusia ditemui berhampiran kawasan bekas tapak kem tahanan Nazi di Poland, kata pihak berkuasa.

Institute National Remembrance yang menyiasat jenayah dilakukan sepanjang penjajahan Nazi di Poland dan era komunis, berkata rangka itu ditemui berhampiran kem tahanan Soldau, kini dikenali sebagai Dzialdowo, di utara Warsaw.

Jerman Nazi membina kem itu ketika ia menceroboh Poland pada Perang Dunia Kedua, menggunakan ia sebagai tempat transit, tahanan dan penghapusan Yahudi, pembangkang politik dan ahli politik elit Poland.

Dianggarkan 30,000 tahanan terbunuh di Soldau, tetapi jumlah sebenar tidak pernah didedahkan.

Penemuan kira-kira 15,800 kg abu manusia menunjukkan sekurang-kurangnya 8,000 terbunuh di situ, kata penyiasat Tomasz Jankowski.

Ia anggaran kepada berat setiap sisa iaitu 2kg bagi satu badan manusia.

Mangsa ditanam di dalam kubur besar itu kemungkinan dibunuh sekitar 1939 dan kebanyakannya adalah elit Poland, kata Jankowski.

Pada 1944, pihak berkuasa Nazi mengarahkan tahanan Yahudi menggali kubur itu dan membakar mayat untuk menghapuskan bukti jenayah perang.

Andrzej Ossowski, penyelidik di Universiti Perubatan Pomeranian berkata sampel daripada abu itu diambil dan akan dikaji di makmal.

“Kami akan melakukan analisis DNA, yang akan membolehkan kami mengetahui lebih lanjut tentang identiti mangsa,” katanya. – AFP, 14 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen